Monday, 3 June 2019

PULANG RAYA BUKA MASA PAMER KEKAYAAN


Aidilfitri hilang kemeriahan jika tidak dapat pulang berhari raya bersama keluarga di kampung halaman. Biarpun terletak jauh di pedalaman, suasana kampung akan bertukar meriah dengan kepulangan anak perantau yang pulang bersama cerita dan pengalaman masing-masing.  

Balik kampung akan mengingatkan kita kepada asal usul. Kenangan tinggal di kampung bersama keluarga, sanak saudara dan rakan menerjah kembali di benak fikiran. Tambah lagi apabila bertemu antara satu sama lain. Banyak perkara yang dibincangkan mengingatkan kenangan lalu.

Kenangan itu sepatutnya menjadi motivasi untuk terus membina kejayaan di kota apabila pulang semula ke kota. Dari kampung terpencil kini telah membina kehidupan yang berjaya di kota. Kejayaan itu bukan hasil diri sendiri saja, tetapi juga banyak disokong oleh dasar kerajaan melalui dasar pendidikan dan perancangan ekonomi yang mampan. 

Mengenang sejarah lalu membuka peluang untuk muhasabah diri. Apakah usaha selama ini benar-benar berbaloi? Apakah yang perlu dilakukan seterusnya untuk mencipta kejayaan lebih baik. Hidup ini sepatutnya tidak statik. Hari ini perlu lebih baik daripada semalam dan esok biarlah lebih baik berbanding hari ini.

Penduduk asal kota raya yang tidak berpeluang ‘pulang’ di kampung akan merasakan betapa ‘kampung’ mereka yang terpaksa dikongsi bersama dengan penghuni lain selama ini akan menjadi hak mereka yang sepenuhnya. 

Ada juga yang bertugas di kota akan pulang ke kota lain tempat tinggal ibu bapa. Perkara penting sebenarnya bukan soal kampung atau bandar, tetapi di sebalik kepulangan itu adalah untuk bersama dengan ibu bapa, adik beradik dan rakan.    

Ketika balik kampung akan dibawa bersama kenderaan  dan juga perhisaan, pakaian atau peralatan moden yang dimiliki, harapnya tidak diselit bersama perasaan sombong atau menunjuk-nunjuk. Sikap sombong akan merenggangkan hubungan yang sepatutnya bertaut ketika Aidilfitri. 

Balik kampung sempena Aidilfitri tidak sepatutnya bertujuan mempamerkan kemewahan atau kejayaan yang dicapai di kota. Perasaan perlu ikhlas untuk meraikan kejayaan berpuasa selama sebulan, bukannya bertukar sikap sombong dan menunjuk-nunjuk yang ditegah oleh agama. 

Di kota atau di kampung, perkara yang seharusnya dijadikan agenda utama ketika sambutan Aidilfitri ialah amalan ziarah. Saling ziarah menziarahi dapat merapatkan silaturahim. Ketika masa lain peluang untuk ziarah agak terhad memandangkan ramai yang berada di tempat mencari rezeki maupun belajar.  


No comments:

Post a Comment