Sunday, 2 June 2019

CARA BUAT KETUPAT PALAS

Di Kelantan, ketupat palas atau juga dipanggil ketupat tiga bucu menjadi penyeri sambutan Aidilfitri. Tanpa ketupat palas, hidangan Aidilfitri tidak langkap. Ketupat palas menjadi hidangan wajib setiap kali Aidilfitri.

Namun, tidak pula dinafikan, sudah ramai tetamu, mahupun tuan rumah sendiri, sekadar tengok sahaja ketupat palas. Atau sekadar diambil sebiji untuk ambil rasa atau ambil hati apabila dipelawa oleh tuan rumah.

Seperti dikatakan, ketupat palas menjadi penyeri. Sedangkan hidangan lain lebih mendapat perhatian untuk dimakan.

Jadi, sekarang ini semakin kurang keluarga membuat ketupat palas. Mereka lebih suka membelinya sekadar untuk menjadi penyeri hidangan di atas meja.

Membuat ketupat palas tidak serumit membuat lemang. Namun memerlukan masa persiapan yang leceh juga.

Pertama, kena cari pucuk daun palas. Sekarang ini hendak dapatkan daun palas agak sukar. Kalau yang tinggal di bandar atau tidak mahu masuk hutan, cari dan beli sahaja di pasar.

Seminggu atau beberapa hari sebelum masak ketupat, daun perlu 'dibuka' dan 'dilendikkan' bagi memudahkan untuk membungkus ketupat nanti.

Dua hari atau sehari sebelum Aidilfitri, baru ketupat dimasak. Ketupat yang telah masak boleh disimpan sehingga seminggu. Kalau disimpan di dalam peti sejuk, ia boleh ditahan lebih lama, tetapi akan menjadi keras. Ketupat itu boleh dipanaskan kembali untuk kembali lembut biarpun tidak seperti asal.

Terdapat dua jenis utama ketupat palas iaitu ketupat tawar dan ketupat manis, merujuk kepada rasa pulut. Di dalam pulut itu pula ada yang kosong dan setengah diisikan dengan sambal atau seunding, kacang merah dan sebagainya.

Ketupat palas biasanya dimakan kosong, terutama yang manis. Namun ada juga yang cicah dengan gulai atau serunding, mengikut mana yang ada.

Memandangkan semakin banyak keluarga yang tidak lagi berminat atau tidak pandai untuk membuat sendiri ketupat palas, jalan mudah untuk mengekalkan tradisi menghidangkan ketupat palas, beli sahaja dari pengusaha ketupat palas.

Bagi memastikan tradisi membuat ketupat palas tidak hilang, maka ada keluarga akan mengadakan 'kursus' kepada anak cucu cara membuat ketupat palas pada beberapa hari sebelum Aidilfitri.

No comments:

Post a Comment