Pemberian duit raya adalah antara
amalan-amalan kebajikan atau pemberian ikhlas seseorang yang disunatkan dalam
Islam. Justeru, berikanlah sumbangan itu dengan seikhlas dan setulus hati,
tanpa dipaksa oleh rasa bersalah sekiranya ia tidak dapat memberikannya.
Sekiranya tidak mampu memberikan duit, maka
juadah hari raya yang disajikan juga mencapai maksud pemberian yang dianjurkan
dalam Islam. Tidak perlu paksakan diri untuk memberi ketika kita tidak mampu
melakukannya. Juga, jangan berasa malu dan bersalah jika tidak mampu menyediakan
duit raya.
Kepada ibu bapa pula, didiklah anak-anak agar
tidak meminta duit raya dengan sesiapapun. Terima dan ambil hanya apabila
diberikan. Ibu bapa supaya sentiasa menekankan kepada anak-anak tentang penting
amalan ziarah dan bukannya mengharapkan duit raya.
Ada kanak-kanak terbiasa meminta duit raya
dengan saudara mara. Kalau tidak diberi, mereka akan merayu-rayu dan siap
'memaksa'.
Bagaimanakah sepatutnya penghayatan Ramadan
agar tidak berlaku amalan pembaziran? Firman Allah SWT. di dalam surah Al-Isra'
ayat 26 dan 27 bermaksud: "Janganlah kamu membazir. Sesungguhnya
orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan adalah syaitan
itu kufur terhadap Tuhan-Nya."
Selama sebulan lamanya kita ditarbiah dalam
situasi yang sederhana, sama ada dalam aspek pemakanan, minuman, kehidupan
seharian dan seumpamanya.
Tambahan pula, sebagaimana yang kita semua
maklum, bahawa sepanjang kita berpuasa sebenarnya kita bermujahadah melepaskan
diri daripada kongkongan syaitan.
Oleh itu, adalah bertentangan dengan roh dan
jiwa Ramadan apabila kita yang meninggalkan syaitan pada bulan Ramadan,
tiba-tiba menjadi kawan atau sahabat syaitan menjelang Syawal dengan pembaziran
yang melampau.
Seorang hukama pernah berkata: "Bukanlah
hari raya itu dengan baju yang baru, tetapi hakikat hari raya itu adalah dengan
takwa yang semakin jitu." Semangat ketakwaan yang semakin menebal dan
kukuh di jiwa setiap calon yang telah berjaya menamatkan latihan Ramadan selama
sebulan, itulah makna hari raya sebenarnya yang dikehendaki syarak.
Begitu juga dengan semangat 'kembali baru
atau fitrah', itulah manifestasi Aidilfitri yang bermakna kembali (aidil) ke
pangkal fitrah (fitri) yang suci dan murni. Suci dari segala kotoran lahiriah
dan batiniah serta bersih daripada noda dan dosa adalah hasil yang paling
berharga pada hari raya ini.
Dalam pada itu juga, Aidilfitri harus
disambut dengan penuh kesyukuran kepada Yang Esa atas nikmat agung berupa Hari
Kebesaran yang dihadiahkan Allah kepada sekalian hamba-Nya yang telah menamatkan
ibadat puasa pada bulan Ramadan.
Semangat bermaaf-maafan, iaitu buangkan yang
keruh, ambil yang jernih adalah semangat yang harus diterapkan sempena hari
mulia ini. Janganlah hanya kerana isu memilih kampung untuk beraya contohnya,
akhirnya bergaduh suami isteri pada hari mulia ini. Ia tentunya bertentangan
dengan roh atau semangat hari raya yang berupa hari perdamaian dan berbaik-baik
antara sesama Muslim.
Begitu juga semangat bantu-membantu
terutamanya terhadap golongan yang susah, seperti anak-anak yatim, golongan
fakir dan miskin, ibu-ibu tunggal, kaum mualaf dan seumpamanya. Mereka juga
ingin mengecapi nikmat raya dan kemeriahan Syawal yang menjelang.
Sumbangkanlah sekadar termampu apa jua
bantuan bagi mereka yang kurang bernasib baik tersebut. Mereka yang dibantu
pula jangan lupa berterima kasih kepada yang menghulurkan bantuan.
Bersesuaian dengan hadis Nabi bermaksud:
"Sesiapa yang tidak bersyukur dengan nikmat yang sedikit, pasti tidak
bersyukur dengan nikmat yang banyak. Sesiapa yang tidak berterima kasih dengan
manusia, sebenarnya, dia tidak bersyukur dengan Allah" (Riwayat Imam
Ahmad).
No comments:
Post a Comment