Sunday 2 June 2019

JAMBATAN ANGKAT KEBANGGAAN TERENGGANU

Jambatan angkat atau ‘drawbridge’ pertama di Asia Tenggara yang dibina di Kuala Terengganu dibuka untuk percubaan bermula 2 hingga 17 Jun. Ia memberi peluang penduduk untuk melalui dan melihat secara lebih dekat jambatan sepanjang 638 meter yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus itu sepanjang tempoh tersebut.

Keterujaan melihat secara dekat pastinya bukan sahaja membabitkan masyarakat sekitar tetapi juga mengundang kebanjiran pelancong sempena Aidilfitri dan cuti sekolah.

Sebagai bandar warisan pesisir air, kewujudan jambatan itu di Kuala Terengganu pastinya akan membawa limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat.

Apabila dibuka sepenuhnya nanti, dijangkakan kedatangan pelancong ke Terengganu meningkat lebih 20 peratus bagi tahun pertama dan mampu memberi manfaat kepada kawasan sekitar seperti Seberang Takir dan Gong Badak.

Kerajaan Terengganu sedang pertimbangkan untuk mewujudkan kawasan-kawasan yang menarik seperti gerai yang bukan sahaja menceriakan kawasan pesisir pantai yang berdekatan tetapi turut mempromosi produk tempatan.

Idea pembinaan jambatan angkat yang mempunyai dua menara setinggi 16 tingkat itu berdasarkan jambatan angkat London Tower Bridge di London.

Jambatan angkat bernilai RM248 juta itu akan menjadi jambatan keempat yang menghubungkan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. Jambatan angkat itu bukan sahaja menjadi kebanggaan rakyat Terengganu malah seluruh Malaysia.

Jambatan angkat adalah sebahagian daripada projek pembangunan Kuala Terengganu City Centre, sebuah projek pembangunan bandar bersepadu yang menggabungkan ciri-ciri unik warisan Terengganu.

No comments:

Post a Comment