Manusia diperintahkan melakukan kebaikan dan
menjauhkan perbuatan mendatangkan keburukan. Amalan itu perlu disegerakan jika
ada kesempatan melakukannya.
Allah SWT berfirman: “Dan segeralah kamu
kepada (mengerjakan amal baik untuk mendapat) keampunan Tuhan kamu dan
(mendapat) syurga yang keluasannya segala langit dan bumi, yang disediakan bagi
orang bertakwa”. (Ali Imran: 133)
Allah SWT memberi panduan supaya Muslim tetap
mengisi masa selepas menunaikan sesuatu amalan dengan amalan lain yang
berfaedah dan berkebajikan.
Firman-Nya: “Kemudian apabila engkau selesai
(daripada sesuatu amal salih), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha
(mengerjakan amal salih lain). (Al-Insyirah: 7)
Dengan kata lain, kita tidak hanya
berpuashati dengan kebaikan yang telah dilakukan. Sebaliknya akan terus
berusaha melakukan kebaikan itu berulang-ulang dan meningkatkan tahap kebaikan
itu.
Sesungguhnya, masa tidak menanti kita. Kita
perlu mengisi masa dengan melakukan kebaikan. Apabila berpeluang melakukan kebaikan,
maka bersegeralah.
Sikap menangguhkan tugas yang perlu dilakukan
akan membawa kepada kesan buruk. Semakin lambat menyelesaikan masalah, kemajuan
akan terencat, sedangkan semakin cepat menerajui aktiviti, kemajuan segera
berada di depan mata.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang suka
melambat-lambatkan pekerjaannya, maka tidak akan disegerakan hartanya”. (HR
Muslim)
Dalam hadis lain, perintah bersegera
melaksanakan kebaikan disampaikan Baginda: “Segeralah melakukan amal salih
(kebajikan), (kerana) akan berlaku fitnah seumpama malam gelap-gelita. Dalam
keadaan itu, terdapat seseorang pada paginya mukmin, petangnya menjadi kafir.
Begitu juga sebaliknya seseorang yang petangnya kafir, kemudian paginya,
menjadi Mukmin. Dia menjual agamanya demi kepentingan dunia sedikit.” (HR
Muslim)
No comments:
Post a Comment