Berdoa dengan penuh perasaan adalah satu
kelaziman bagi seseorang. Tambahan pula seseorang Muslim yang amat mengharapkan
kepada sesuatu, takut akan terjadi sesuatu, maka berdoa kepada Allah SWT adalah
langkah yang utama.
Risau dan takut ketika berdoa dan ketika
memikirkan dosa adalah perkara biasa bagi seorang manusia, bahkan itulah antara
sifat seorang Mukmin.
Sabda Nabi SAW bermaksud: “Sesungguhnya
seorang Mukmin itu melihat dosa-dosanya seolah-olah dia berada di kaki sebuah
gunung, dia khuatir gunung itu akan menimpanya. Sebaliknya, orang yang derhaka
melihat dosa-dosanya seperti seekor lalat yang hinggap di atas hidungnya, dia
mengusirnya dengan tangannya, maka lalat itu terbang.” (Hadis riwayat
al-Bukhari, no, 6308)
Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya
mereka itu (para Nabi) sentiasa bersegera dalam melakukan perkara kebaikan. Dan
mereka berdoa kepada Kami dalam keadaan penuh harap dan rasa takut. (Surah
al-Anbiya, ayat 90)
Ayat di atas ini sebelumnya menceritakan
berkenaan beberapa orang para Nabi dan juga permintaan yang mereka lakukan.
Nabi Ayyub berdoa kepada Allah SWT untuk memberikan kesembuhan kepada
penyakit yang menimpanya, lalu Allah mustajabkan.
Nabi Yunus berdoa supaya diselamatkan
dari musibah yang menimpa dirinya ketika berada di dalam perut ikan Nun, kemudian
Allah mustajabkan doanya.
Berikutnya, Nabi Zakaria juga berdoa
supaya dikurniakan zuriat, lalu Allah SWT memustajabkannya dengan mengurniakan
Nabi Yahya sebagai anak.
Ketiga-tiga para Nabi ini dimustajabkan doa
mereka kerana berdoa dalam keadaan penuh harap dan takut kepada Allah SWT.
No comments:
Post a Comment