Friday, 13 September 2019

POLITIK PROGRESIF REALISTIK PENYATUAN UMMAH


Pemeteraian Piagam UMNO-PAS yang bakal dimuktamadkan pada 14 September 2019 nanti merupakan satu permulaan segar kepada naratif dan pembawaan baharu politik Melayu dan Islam - iaitu sebuah amalan politik progresif dan realistik. 

Ia melambangkan kematangan dan kesanggupan elektoral Melayu Muslim untuk melupakan perbezaan yang wujud demi matlamat yang lebih besar.

Sejak sekian lama, penyatuan bangsa Melayu amat didambakan ramai pihak. Namun, hasrat murni ini terhenti hanya pada laungan dan seruan. Tidak bersahut, tidak menjadi. Kini, impian tersebut bakal dizahirkan secara serius dan strategik melalui kerjasama UMNO-PAS.

Akan tetapi, dalam menjayakan 'Agenda Penyatuan Ummah' ini, wujud sahaja suara-suara negatif yang bukan sahaja pesimis dan menghina. Namun, kelihatan sengaja memberikan konotasi buruk agar ikhtiar ini gagal dan dihentikan.

Antaranya, kenyataan YB Lim Guan Eng bahawa agenda penyatuan ini adalah satu 'isyarat perang' kepada golongan bukan Melayu dan bukan Islam. Timbalan Speaker Dewan Rakyat, YB Nga Kor Ming pula menuduh kerjasama ini akan menjadikan Malaysia sebagai negara Taliban.

Malah, YAB Perdana Menteri sendiri tidak ketinggalan. Beliau secara tiba-tiba muncul dan menggesa PAS terlebih dahulu menarik balik label 'kafir' yang pernah diberikan mereka kepada UMNO semasa beliau menjadi Perdana Menteri ke-4 dahulu.

Biarlah mereka dengan igauan mereka. UMNO dan PAS akan terus rasional dalam mendepani ini semua. Semuanya kerana keyakinan berikut.

Pertama, kerana kerjasama ini disandarkan kepada nilai progresif dan 'pragmatism'.

Membawa dua parti politik yang berbeza ideologi menjadi satu kekuatan politik baru adalah langkah yang progresif.

UMNO dengan ideologi nasionalismenya telah membuka ruang untuk menyelami politik Islam sebagai lonjakan baru kepada perjuangannya.

Sementara PAS pula, dengan ideologi Islamnya, bersedia untuk bekerjasama dengan pendukung ideologi kebangsaan dalam memacu demokrasi Malaysia yang semakin matang.

In merupakan satu permulaan kepada usaha-usaha yang sistematik, terarah dan berhikmah yang menunjukkan betapa akhirnya, natijah dari semua ini ialah politik yang progresif dan pragmatik.

Agenda Penyatuan Ummah ini diyakini dapat memulih dan menyusun semula paradigma dan daya tahan bangsa agar bersifat sezaman dan luwes. Keanjalan dalam sikap dan pendirian politik adalah perkara yang mesti diusahakan tanpa prejudis dan memilih-milih. Malah, menjangkaui spektrum politik.

Kedua, kerjasama ini adalah lonjakan besar dalam demokrasi Malaysia yang matang.

Pemeteraian Piagam UMNO-PAS bukan sahaja tidak bercanggah dengan nilai dan semangat demokrasi yang terbuka, malah mengukuhkannya.

Garapan pendekatan dan pengisian sebegini secara tidak langsung akan mematangkan amalan demokrasi dalam negara. Ini kerana, apabila komuniti majoriti memilih untuk merapatkan jurang dan melupakan persengketaan, lebih mudah untuk keseluruhan masyarakat bergerak mara ke hadapan.

Negara tidak akan lagi dibelenggu oleh perpecahan, perselisihan dan perbezaan yang bukan sahaja memisahkan kita antara satu sama lain. Tetapi telah menyukarkan sebarang dasar yang progresif dan baik.

Pada masa yang sama, bangsa dan masyarakat akan memerdekakan diri dari wacana sempit tentang hak dan ketuanan dan memfokuskan kepada sesuatu yang lebih substantif, mencabar dan global.

Percayalah, kerjasama UMNO dan PAS ini akan menjadikan Malaysia ini lebih demokratik kerana pelbagai aktornya, tampil dengan pelbagai pendekatan yang inovatif dalam meraih kepercayaan rakyat.

Ketiga, kerjasama UMNO dan PAS ini sangat penting untuk membangunkan kekuatan politik Melayu Islam bagi menghadapi gelora globalisasi yang semakin mencabar.

Kita tidak lagi hidup dalam arena kita. Kita berkehidupan dalam dunia yang sangat global dan dampak globalisasi ini sangat luar biasa.

Ia telah mula merubah cara hidup dan pemikiran serta jati diri bangsa Melayu dengan impak yang tidak pernah terbayang sebelum ini. Justeru kita mesti mencari jalan untuk mengurus dampak globalisasi ini melalui kekuatan politik yang rentas ideologi.

Kerjasama UMNO-PAS adalah antara langkah mempersiap bangsa untuk berhadapan dengan ketidaktentuan dunia dan perubahan-perubahan ideologi yang saban hari mencengkam jati diri Melayu tanpa kita sedari.

Tanpa kekuatan politik yang ampuh, bangsa Melayu dan Islam pasti berhadapan dengan kesukaran yang luar biasa dalam mengurus pemikiran, gaya hidup, budaya kerja dan ketahanan bangsa yang semakin deras berubah dek derasnya globalisasi.

Keempat, kerjasama ini tidak sesekali membelakangkan masyarakat majmuk Malaysia.

Selama UMNO wujud, tradisi politiknya ialah menjayakan kemajmukan. Melalui Perikatan sehinggalah Barisan Nasional, pengalaman politik UMNO senantiasa dipengaruhi oleh kepentingan untuk menyantuni Malaysia yang pelbagai ini.

Demikian juga PAS. Kerana Islam pada PAS adalah untuk semua, bukan hanya kepada bangsa Melayu. Kerana ini juga, PAS, dalam hayat politiknya, telah banyak kali bekerjasama dengan pelbagai aktor demokrasi seperti DAP, Semangat 46, PKR dan yang lain.

Pengalaman kedua-dua pergerakan politik ini dalam menangani kemajmukan sangat luar biasa. Sinergi yang terbentuk melalui kerjasama UMNO PAS ini akan membongkar kekayaan pengalaman kedua-duanya dalam mengurus kemajmukan Malaysia.

Potensinya ialah ia membuka lebih banyak ruang kerjasama dan persefahaman. Khususnya dengan bukan Melayu dan bukan Islam. Ini kerana, kedua-dua parti sangat memahami dan sedar bahawa kerjasama ini mesti inklusif dan bersifat sejagat.

Ia mesti membujuk keterlibatan dan rasa kebersamaan semua pihak dalam lapisan masyarakat kita yang rencam dan bermacam-macam. Kerana, matlamat akhir kita adalah untuk membangunkan sebuah agenda kerjasama peringkat nasional yang praktikal dan berkesan.

Sambil menolak ekstremisme dan radikalisme, kerjasama UMNO-PAS sebenarnya adalah ikhtiar untuk menyatupadukan orang Melayu di bawah satu persefahaman yang sama, demi kepentingan Malaysia yang pluralistik dan majmuk budaya dan agama bangsanya.

Tanpa kerjasama inklusif yang utuh, kesatuan Melayu-Muslim tidak akan lengkap dan tidak bermakna. Meskipun dari segi bilangan orang Melayu Muslim membentuk fabrik majoriti dalam negara.

Maka, kewujudan 'A Malay led plural society', atau sebuah masyarakat majmuk Malaysia yang dikemudikan oleh bangsa Melayu, sebagai bangsa teras boleh menjadi satu lonjakan baharu kepada politik semasa yang sangat menjarakkan kita antara satu sama lain.

Kita harus mengakui. Orang Melayu memerlukan penyatuan. Orang bukan Melayu memerlukan rasa selamat dan seruan kebersamaan yang adil. Islam memerlukan pemahaman dan penghormatan yang selayaknya. Paling penting, Malaysia sendiri memerlukan lonjakan dan jalan ke hadapan yang lebih baik.

Percayalah, Kerjasama UMNO-PAS ini adalah jawapannya. Mari jayakan.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO
11 September 2019 

No comments:

Post a Comment