Saturday, 28 September 2019

LARANGAN PENYERUPAAN DENGAN AGAMA LAIN


Terdapat dua bentuk maksud larangan penyerupaan dengan agama lain. Adakalanya ia bermaksud haram dan adakalanya bermaksud makruh.

Berkata Imam Ibn Salah (w.643H) rahimahullah: “Maka sesungguhnya barangsiapa yang menyerupai satu kaum itu maka dia seakan-akan sebahagian daripada mereka. Penyerupaan dengan orang kafir, terkadang menjadi makruh, dan terkadang menjadi haram. Perkara tersebut kembali kepada keketaraan yang ada pada penyerupaan itu, sama ada sedikit atau banyak. Wallahua`lam."

Contoh bagi penyerupaan yang haram adalah berakidah dan beribadah dengan cara Nasrani atau Yahudi.

Firman Allah SWT bermaksud: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 120)

Begitu juga dengan penyerupai kelakuan dan pakaian ahli muzik yang lazim dengan maksiat seperti minum arak.

Manakala contoh penyerupaan yang makruh ialah jika penyerupaan itu sedikit, atau daripada sudut yang kecil sahaja, penyerupaan itu dihukumkan makruh.

Contohnya seperti melakukan qaza’ (memotong atau bercukur sebahagian rambut dan meninggalkan sebahagian yang lain).

Perbuatan makuruh yang lain ialah melumurkan kepala bayi selepas bercukur dengan darah aqiqah kerana mengikut adat Jahiliyyah.

Begitu juga puasa secara tunggal pada hari Jumaat kerana orang Nasrani dan Yahudi mengkhususkan ibadah pada hari Khamis dan Jumaat.

Ada pengecualian bagi larangan ini apabila suatu pakaian atau perbuatan itu tidak lagi melambangkan bukan Islam dan fasiq. Kesannya, suatu perlambangan itu boleh berubah menjadi harus.

Berkata Imam al-Bujairimi dalam isu membayar kafarah dengan memberikan kain tailasan/tayalisah: “Dan disebabkan pemakaian al-tayalisah pada masa kini bukan lagi menjadi syiar mereka (Nasrani dan Yahudi), bahkan sudah diangkat pada zaman kita dan berubah menjadi salah satu yang termasuk dalam perkara umum yang diharuskan.

Betapa perkara ini telah disebut oleh Ibn Abd al-Salam dalam bidah-bidah yang dibenarkan. Berkata Ibn Hajar: Apabila sudah menjadi simbol bagi suatu kaum (yakni golongan yang baik-baik seperti ulama) maka dengan meninggalkannya pula akan menghilangkan maruah.”

Daripada sudut sejarah, pemakaian tayalisah dalam Bahasa Arab atau tallit dalam Bahasa Ibrani iaitu kain penutup kepala ini, adalah syiar kaum Yahudi.

Maka hukum asalnya adalah makruh, seperti kata Syeikh al-Samhudi al-Syafie. Namun apabila kebanyakan mereka sudah meninggalkan pakaian ini sebagai simbol agama, ia berubah menjadi pakaian yang umum sehingga sebahagian ulama menjadikannya sebagai simbol mereka yang boleh mengajar dan berfatwa, dan diijazahkan pemakaiannya.

Pakaian jenis ini adalah harus dan tidak termasuk dalam larangan syarak meniru kaum lain. Pada hari ini, contohnya pemakaian baju berkot dan tali leher tidak lagi dianggap sebagai peniruan bersifat agama atau kefasikan. Hukum memakainya adalah harus.

Di sini, dapat kita fahami bahawa penyerupaan dalam bentuk ibadah atau keagamaan dengan agama-agama lain adalah haram.

No comments:

Post a Comment