Siri laporan dari Tinjauan Kesihatan dan
Morbiditi Kebangsaan Malaysia melaporkan prevalen bagi berlebihan berat badan
dan obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat.
Laporan pada tahun 2015 melaporkan masalah
tersebut telah mencapai tahap tinggi, dengan 1 dalam setiap 3 orang mengalami
berat badan berlebihan, dan 1 dalam setiap 6 orang mengalami obesiti.
Berlebihan berat badan atau obesiti berlaku
akibat pengumpulan lemak berlebihan dalam badan. Biasanya ini merujuk kepada
berat badan lebih tinggi daripada normal mengikut ketinggian.
Anda boleh semak jika anda mengalami masalah
berat badan dengan menggunakan indeks jisim tubuh (IJT, atau Body Mass Index,
BMI), yang dikira menggunakan formula BMI = berat (kg) / tinggi x tinggi
(meter).
Angka BMI ‘normal’ adalah antara 18.5 dan
24.9. Angka BMI yang tinggi biasanya menunjukkan pengumpulan lemak berlebihan
yang membawa kepada berlebihan berat badan atau obesiti.
BMI antara 25.0-29.9 menunjukkan berlebihan
berat badan dan nilai lebih daripada 30 adalah obesiti.
Tabiat pemakanan dan gaya hidup sedentari
adalah penyebab utama bagi kenaikan berat badan tidak sihat, lalu menyebabkan
berlebihan berat badan dan obesiti.
Satu konsep penting untuk diketahui adalah
keseimbangan tenaga. Ia bermaksud tenaga yang diperolehi daripada makanan dan
minimum yang diambil tidak harus melebihi jumlah tenaga yang badan anda gunakan
menerusi aktiviti fizikal.
Jika pengambilan kalori anda biasanya tinggi
tetapi anda kurang menggunakan tenaga tersebut, lebihan tenaga akan disimpan
sebagai lemak. Manakala pengambilan tenaga yang lebih rendah berbanding
penggunaan tenaga akan menyebabkan penurunan berat badan, kerana badan akan
‘membakar lemak’ demi mencapai defisit ini.
Makanan dan minuman tertentu mempunyai kalori
tinggi (tinggi tenaga) tetapi kurang nutrien penting. Ini termasuklah makanan
tinggi lemak seperti makanan bergoreng, hidangan yang mengandungi santan,
tinggi karbohidrat, dan banyak gula seperti kek, kuih-muih, minuman dimaniskan
dengan gula dan teh susu bubble. Makanan dan minuman ini boleh diambil secara
sederhana, tetapi bukan selalu.
No comments:
Post a Comment