Wednesday 16 October 2019

CARA KEKAL BERAT BADAN SIHAT


Mengekal berat badan yang sihat amat penting. Terdapat panduan atau petua untuk kekal sihat. Panduan itu adalah:

• Amalkan pemakanan sihat
Pilihan terbaik ialah masakan rumah yang disediakan menggunakan bahan segar dan kurang diproses. Jika anda makan di luar, pilihlah makanan yang dikukus, reneh, panggang atau tumis. Kurangkan makanan bergoreng dan bufet bagi mencegah berlebihan makan!

• Kurangkan pengambilan gula
Hadkan pengambilan makanan dan minuman manis. Gula ialah bahan ‘kalori kosong’ tanpa nilai nutrien.

• Jadi lebih aktif secara fizikal
Luangkan sekurang-kurangnya sejam aktiviti fizikal setiap hari, contohnya jalan pantas, joging, berlari, berbasikal atau sebarang senaman ringan. Lakukan senaman/sukan lebih berat yang meningkatkan pernafasan dan degupan jantung anda sekurang-kurangnya sekali seminggu. Mulakan secara perlahan-lahan jika tahap kecergasan anda rendah, kemudian tingkatkan aktiviti secara beransuran.

• Mulakan tradisi/budaya keluarga ‘baharu’
Ini amat mempengaruhi kanak-kanak apabila mereka dewasa. Jika keluarga anda sentiasa makan di restoran makanan segera, anak-anak akan anggap ini perkara ‘normal’.

Mulakan gaya hidup sihat dari awal dengan menyediakan hidangan di rumah sekerap mungkin.
Tabiat lain untuk dipupuk sejak kecil termasuklah mendapatkan tidur yang cukup setiap hari dan menguruskan tahap tekanan.

Terdapat juga kajian baharu yang mencadangkan kemungkinan memanipulasi komposisi mikrobiota usus sebagai kaedah baharu untuk ‘merawat’ obesiti.

Mikrobiota usus ialah mikroorganisma dalam usus yang dikaitkan dengan cara badan kita menghadam dan menyerap nutrien daripada makanan.

Bukti saintifik berkenaan cara probiotik membantu mengurangkan lemak/berat badan dan meningkatkan berat badan adalah memberangsangkan.

Secara umumnya, probiotik ialah bakteria baik yang memberikan kita faedah kesihatan yang membantu menambah baik sistem penghadaman dan penyerapan nutrien kita.

Oleh itu, termasuk makanan kaya dengan bakteria baik dalam diet anda, contohnya makanan ditapai (seperti kimchi, sauerkraut, tempe, dsb.) atau minuman susu berkultur yang mengandungi kultur hidup seperti Lactobacillus acidophilus dan Lactobacillus paracasei.

Pengurangan berat badan secara beransuran lebih elok bagi mengurangkan risiko masalah kesihatan yang tidak diingini. Jangan terlalu menumpukan untuk menghilangkan jumlah berat yang khusus setiap minggu/bulan, tetapi tetapkanlah sasaran lebih realistik, contohnya 5-10% pengurangan daripada berat badan sekarang dalam masa enam bulan.

Terdapat juga alat yang boleh digunakan untuk membantu anda kekal fokus. Pedometer membantu mengira jumlah langkah anda dalam sehari dan ada aplikasi peranti yang boleh membantu anda mengawasi pengambilan kalori, aktiviti fizikal serta pengurangan berat badan.

Yang paling penting, jangan terlalu hampa jika anda tidak memperoleh apa yang anda harapkan. Ingat, ‘senjata’ paling signifikan dalam perjuangan anda ialah komitmen untuk memperoleh berat badan sihat, dan konsisten dalam mengamalkan gaya hidup sihat.

No comments:

Post a Comment