Perbuatan menghina dilakukan oleh mereka yang
berasa megah, kuat, kaya dan seumpamanya melambangkan dia 'lebih' berbanding orang
dihina. Namun, mereka lupa perbuatan itu bakal menerima pembalasan di
akhirat.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya kesalahan hanya ada pada orang yang berbuat zalim kepada manusia
dan melampaui batas di muka bumi tanpa (menghiraukan kebenaran). Mereka itu
mendapat seksaan yang pedih.” (Surah asy-Syura, ayat 42)
Iyad bin Himar berkata, Rasulullah SAW
bersabda: “Allah yang Maha Tinggi memberi wahyu kepada saya, menyuruh saudara
sekalian merendahkan diri antara satu sama lain, sehingga tidak ada orang yang
berasa dirinya lebih hebat daripada orang lain dan tidak ada orang bersikap
angkuh terhadap orang lain.” (Riwayat Muslim)
Ada kala tanpa kita sedar perkataan yang
keluar menyebabkan orang lain berasa diri seakan dihina disebabkan kelebihan
kita miliki serta kekurangan ada pada mereka. Keadaan ini boleh menyebabkan
timbul rasa iri hati.
Sebagai hamba beriman, setiap nikmat
dikurniakan Allah SWT sepatutnya disyukuri bukan dijadikan sebab untuk
bermegah-megah hingga menyebabkan timbul rasa riak dalam diri. Manusia semua
sama di sisi Allah SWT dan yang membezakan adalah tahap ketakwaan mereka.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Jangan kamu
menganggap dirimu suci. Dia mengetahui berkenaan orang yang bertakwa.” (Surah
an-Najm, ayat 32)
Sebaiknya, kita sentiasa merendahkan diri dan
menanamkan dalam jiwa bahawa setiap insan itu sama kerana yang hebat hanya
Allah SWT, kita semua hanya meminjam kehebatan itu yang mana akhirnya nanti
kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap perbuatan dilakukan.
Kehidupan hari ini memperlihatkan ramai yang
bertarung untuk membina kehidupan baik untuk diri serta keluarga masing-masing.
Mereka berlumba-lumba untuk meningkatkan taraf ekonomi supaya dapat menjalani
kehidupan selesa.
Sebenarnya, banyak perkara dalam kehidupan
berkait antara satu sama lain dan kesudahannya adalah demi menjaga kemaslahatan
manusia. Hubungan baik sesama manusia menghasilkan hidup yang harmoni
sebaliknya prasangka hanya menjurus kepada permusuhan.
Oleh itu, dalam setiap tindakan dibuat, kesan
baik dan buruknya perlu difikirkan. Jadilah orang yang memberi manfaat kepada
orang lain dan jika itu juga tidak mampu dilakukan, pastikan diri tidak menjadi
masalah kepada orang lain.
No comments:
Post a Comment