Tuesday, 22 October 2019

KEJAYAAN 16 ANAK FATIMAH MASUK UNIVERSITI

Boleh dikatakan semua orang menyimpan cita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading. Begitu juga dengan kisah 16 beradik di Kampung Padang Bongor, Kota Bharu, Kelantan.

Dan cita-cita itu tercapai apabila kesemua mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti, dan faktor utamanya ialah berkat pengorbanan ibu mereka, Fatimah Jusoh, 69 tahun.

“Sangat terharu apabila ibu saya dapat melihat semua anak dia masuk universiti.

“Dalam 16 orang adik-beradik saya, 11 orang belajar di universiti tempatan, manakala lima lagi di universiti luar negara," kata Mohd Yazid Ismail ketika dihubungi Malaysiakini.

Dia merupakan anak kesebelas dalam keluarga besar itu. Kesemua anak yang lebih tua ialah lelaki, manakala empat adiknya perempuan.

Yazid, kini 35 tahun, menceritakan jalan yang perlu ditempuhi mereka sekeluarga yang bukanlah mudah. Pelbagai cabaran perlu didepani terutama setelah ayah mereka jatuh sakit pada 1991.

“Ayah diserang strok dan lumpuh selama 9 tahun. Ketika itu ibu mengandung adik bongsu. Ayah terpaksa berhenti kerja, dan ibulah yang mengambil tugasnya mencari rezeki untuk menyara kami yang masih kecil.

“Ibu terpaksa mengambil alih tugas ayah menyara kami adik-beradik yang masih kecil, pada masa sama menjaga ayah yang lumpuh," katanya penuh emosi.

Mengimbas kembali kepayahan yang dihadapi keluarganya, dia berkata mereka turut dibantu RM150 sebulan daripada masjid.

"Kami terima wang ehsan setiap bulan. Kami juga terima bantuan pihak lain, tetapi biasanya setahun sekali sahaja seperti bantuan barang persekolahan," katanya.

Menurut Yazid, mereka adik-beradik sentiasa menjaga tingkah laku kerana tidak ingin menambah beban ibu yang sudah cukup berat mencari nafkah untuk keluarga.

Abang sulungnya yang sudah bekerja pada masa itu sedikit sebanyak meringankan beban ibu mereka, katanya lagi.

Antara perkara yang sukar dilupakan Yazid adalah bagaimana keluarganya sering kekurangan makanan dan terpaksa mengisi perut dengan nasi dan air garam.

"Pada 2002, keluarga kami masih masak nasi guna dapur kayu api. Jika kayu habis, saya dan beberapa adik yang lain akan ke hutan dekat rumah untuk mencari kayu." katanya lagi.

Dengan jerih payah yang dilalui tahun demi tahun, kini kesemuanya boleh dikira berjaya.

Anak-anak Fatimah kini ada yang menjadi pensyarah, hakim dan penceramah motivasi. Yazid sendiri membina kerjaya sebagai perunding kewangan.

“Abang sulung saya berumur 51 tahun dan yang paling bongsu umur dia 27 tahun. Semua adik-beradik saya sudah berkahwin dan kini ibu saya mempunyai 63 orang cucu," katanya.

Yazid berkahwin pada 2007 dan dikurniakan lima anak - tiga lelaki dan dua perempuan.

Dia tidak lokek untuk berkongsi nasihat kepada keluarga yang kini berdepan jalan hidup yang sama.

“Nasihat saya untuk orang yang mengalami kemiskinan, kena ingat bahawa hanya dengan melalui pendidikan sahaja kita boleh meningkatkan taraf hidup.

“Memang kena ada ilmu sama ada melalui universiti ataupun ilmu kemahiran dalam kehidupan seharian, selain kena pandai cara untuk kembangkan ilmu kita," katanya lagi.


No comments:

Post a Comment