Tuesday 7 November 2017

Berhati-hati mengelak bahaya musim banjir

Apabila hujan berterusan di sesuatu kawasan, terutama dalam keadaan lebat, banjir akan melanda. Rakyat diingatkan agar bersedia untuk menghadapi banjir pada bila-bila masa. Jabatan kerajaan dan pasukan bantuan sukarela seperti Persatuan Bulan Sabit Merah telah bersedia untuk melakukan tugas-tugas membantu mangsa banjir. 

Setiap kali musim hujan, satu perkara yang perlu diingatkan kepada semua ialah soal keselamatan diri dan keluarga. Keselamatan harta benda seperti kenderaan, peralatan rumah, haiwan ternakan dan hasil tanaman juga perlu diambilkira.

Umum mengetahui, setiap tahun sentiasa ada yang mangsa mati lemas pada musim hujan. Banyak kes kematian melibatkan kanak-kanak ketika bermain air pada musim banjir. Kematian sedemikian bukan berpunca bencana banjir, tetapi satu kecuaian yang sebenarnya boleh dielakkan. 

Korban bermain air pada musim hujan dapat dielakkan jika semua pihak mengambil langkah keselamatan dan berhati-hati. Mangsa mati lemas bermain air setiap tahun kebanyakkan terdiri kanak-kanak dan remaja. 

Jelas sekali, perkara ini berlaku akibat kecuaian ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang soal kecelakaan yang mungkin berlaku terhadap anak mereka semasa musim hujan. Ibu bapa tidak risau atau mengambil langkah pencegahan untuk mengelak anak menjadi mangsa lemas.

Ramai ibu bapa menganggap musim hujan sama seperti hari-hari lain. Anak dibiarkan bebas bergerak dan bermain seperti biasa. Ibu bapa tidak ambil kisah tentang adanya kawasan mudah ditakungi air di sekeliling atau berhampiran tempat tinggal. 

Air mudah bertakung di kawasan paya, parit, longkang, sawah dan lubang yang digali di tapak pembinaan. Tempat-tempat beginilah selalu menjadi tumpuan kanak-kanak untuk bermain yang berakhir dengan tragedi. 

Kanak-kanak memang tidak tahu bahaya yang mungkin menimpa mereka ketika bermain air hujan. Malah, mereka tidak tahu apa itu mati lemas. Bagi yang sudah memasuki alam remaja dan mengetahui erti mati lemas, mereka mudah lupa apabila asyik bermain tanpa ditegah atau diingatkan tentang bahayanya. 

Sebab itu amat penting ibu bapa atau orang dewasa mengambil tanggungjawab melarang kanak-kanak daripada bermain hujan. Ibu bapa tidak sepatutnya membiarkan anak bebas bermain air hujan dengan apa alasan sekalipun. 

Terdapat ibu bapa membiarkan anak bermain air hujan dengan alasan kawasan sekitar rumah mereka tidak ditegelami air atau kedalaman airnya hanya cetek yang tidak mungkin akan menyebabkan anak mereka lemas. 

Pendapat mereka itu memang tetap. Tetapi, ramai ibu bapa lupa beberapa perkara lain.  Pertamanya, kedalaman air di sesuatu kawasan tidak sama. Kawasan di hadapan rumah mungkin memang cetek yang tidak mendatangkan apa-apa bahaya. 

Tetapi, di tempat yang jauh sedikit daripada laman rumah mungkin ada kawasan yang kedalaman airnya lebih dalam seperti dalam parit, paya atau lubang yang digali. Hujan lebat menyebabkan kawasan tersebut cepat dipenuhi air dan aliran air yang deras. 

Di sesetengah kawasan, hujan lebat beberapa jam telah menyebabkan banjir kilat yang boleh mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak. 

Selain sikap ibu bapa, satu fenomena yang banyak menyebabkan korban musim hujan ialah tanggapan orang ramai terhadap banjir. Bagi seetengah orang, musim hujan yang sepatutnya dihadapi dengan perasaan sedih dan bimbang telah dianggap sebagai satu pesta.

Ramai menyambut kedatangan banjir sebagai menghiburkan. Mereka akan menanti-nanti kedatangan banjir untuk disambut sebagai satu pesta tanpa penganjur. Jika tidak berlaku banjir besar seperti diharapkan, mereka akan merasa seperti satu rasa tidak puas hati atau kerugian. 

Musim hujan tidak dianggap sampai kemuncak jika tidak berlaku banjir.  Setiap kali musim banjir mencatatkan pengalaman berbeza-beza. Sebab itu setiap kali musim hujan, ramai yang akan mengingati kembali musim banjir lalu. 

Mereka akan membanding-bandingkan pengalaman yang telah dilalui, khususnya kecil atau besar banjir yang berlaku pada sesuatu tahun. Tidak hairan jika pengalaman banjir berpuluh-puluh tahun lalu masih disebut-sebut oleh mereka yang pernah melaluinya. 

Untuk mengelak lebih ramai menjadi korban, semua pihak terutamanya ibu bapa perlu memainkan peranan masing-masing. Tidak terasa ralat jika tragedi berlaku dianggap sebagai di luar kawalan. Itu satu takdir yang tidak dapat dielak.

No comments:

Post a Comment