Monday, 11 December 2017

Kelantan terawal terima Islam

Kelantan dikatakan antara negeri terawal menerima kedatangan Islam di Nusantara. Biarpun tidak jelas masa mulanya, tetapi bukti sejarah mengatakan agama Islam mula bertapak dan dianuti penduduk Kelantan sejak kira-kira 1180 Masihi atau 577 Hijrah.

Tafsiran tersebut dibuat berdasarkan kepada penemuan dinar emas pada tahun 1941 di kawasan bekas tapak Kota Kubang Labu yang pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Kelantan pada sekitar 1702 Masihi.  

Pada muka depan dinar tersebut tertulis perkataan Arab ‘al-Mutawakkal Allah’ yang bermaksud ‘berserah kepada Allah’. Manakala di muka belakangnya tertulis perkataan ‘al-Julus Kelantan’ bermaksud ‘Kerajaan Kelantan”.

Di bahagian atas perkataan tersebut tertulis angka Arab 0VV bermaksud 577. Angka 557 tidak dinyatakan sebagai tahun, tetapi telah ditafsir oleh ahli sejarah sebagai tahun 577 Hijrah yang bersamaan tahun 1180 atau 1881 Masihi.

Berdasarkan kepada penemuan dinar emas itu, dapat disimpulkan bahawa agama Islam telah bertapak dan dianuti rakyat Kelantan sejak abab keenam Hijrah atau  abad ke 12 Masihi.  

Jika bahan sejarah ini dapat diterima sebagai bukti berkaitan penerimaan ajaran Islam di Kelantan, bermakna Kelantan lebih awal kira-kira 300 tahun daripada Melaka didatangi pendakwah Islam.

Namun, setakat ini belum ada ahli sejarah yang dapat menetapkan tarikh kemasukan Islam di Kelantan kerana pengajian sejarah negeri Kelantan kurang diambil perhatian.

Sepertimana proses kemasukan Islam di kawasan Nusantara yang lain, termasuk di Malaka dan Jambi (Indonesia), ia dilakukan oleh pedagang atau peniaga. Mereka berdagang dan pada masa yang sama menyebarkan syiar Islam kepada penduduk tempatan.

Sikap orang Islam yang bergerak dengan perniagaan dan berdakwah itu diakui juga oleh T.W. Arnold dengan katanya, “Orang Islam telah bergerak cergas dan meluas di lapangan perniagaan.”. 

Jadi jelaslah di sini bahawa Islam telah masuk ke Kelantan sebelum abad ke-12 Masihi lagi dan ianya telah dianuti oleh masyarakat Kelantan. Ini lebih jelas dengan kenyataan dinar yang ditemui di Kota Kubang Labu, Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan. (Ismail bin Awang: 1986 : 78 )

Negeri Kelantan juga terkenal dengan gelaran Serambi Mekah, yang membayangkan negeri Kelantan sebahagian dari Mekah. Maksudnya di sini ialah Islam adalah kuat di negeri Kelantan. Kenyataan ini adalah tepat kerana Kelantan telah beberapa kali menjalankan hukum mengikut al-Quran seperti di zaman pemerintahan Sultan Ahmad (1886-1889 M) dan Sultan Mansur (1890-1900 M).

Sejak abad ke-19 lagi, negeri-negeri Kelantan terkenal sebagai pusat terpenting di rantau ini di mana Islam memainkan peranan mencorakkan kehidupan sosial dan politik rakyat jelata negeri itu.

1 comment:

  1. Cuba awak kaji tentang kerajaan perlak dan samudera pasai pula. Dua buah kerajaan yang underrated..

    ReplyDelete