Wednesday 10 October 2018

PANTAI SRI TUJUH TUMPAT


Pantai Sri Tujuh, Tumpat, Kelantan agak unik berbanding pantai peranginan lain yang terdapat di negara kita. Keunikan yang dimaksudkan ialah kawasan Pantai Sri Tujuh sentiasa berubah wajah secara semulajadi beberapa kali.

Pantai Sri Tujuh asalnya sebuah perkampungan nelayan. Ia berubah wajah menjadi pusat peranginan setelah Majlis Daerah Tumpat dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan mengubah landskap dengan menanam beribu-ribu pokok rhu dan menyediakan kemudahan lain.

Ketika Pantai Sri Tujuh menjadi lokasi perkelahan terkenal di Kelantan sekitar tahun 1990, ia mengalamai hakisan teruk sehingga lebih 50 peratus hamparan pasir bertukar menjadi sebahagian kawasan laut. Beribu-ribu pokok rhu turut menjadi mangsa hakisan. 

Apa yang uniknya, pasir-pasir yang terhakis dibawa ombak dan arus air membentuk pula dataran di beberapa bahagian lain. Jabatan Saliran dan Pegairan berperanan memantau dan ‘membina’ kawasan baru. 

Setelah sudah banyak kali berubah-ubah, wajah Pantai Sri Tujuh kini lebih stabil.  Pengunjung yang pernah datang beberapa tahun lalu, jika datang lagi sekarang, akan merasakan seperti berada di tempat lain. Apa yang tidak berubah sejak ia mula dibuka sekitar tahun 1980 dulu ialah kawasan pintu masuk.

Kini Pantai Sri Tujuh kembali ceria dengan wajah baru. Walaupun ia belum menyediakan kemudahan sepenuhnya untuk keselesaan pengunjung, ia tidak mengecewakan sesiapa yang mengharapkan kedamaian, keceriaan dan kegembiraan di situ.

Keistimewaan Pantai Sri Tujuh ialah kawasan luas, banyak pilihan tempat dan boleh melakukan pelbagai aktiviti sukan air, sama ada di laut atau di dua lagun yang terbentuk. Ia boleh menampung beribu-ribu pengunjung pada satu-satu masa. 

Pengunjung boleh memilih berada di kawasan mengadap laut luas atau berada di kawasan lagun yang damai dan airnya tenang seperti berada di tasik. Bagi pengunjung ingin bermalam, terdapat kemudahan rumah rehat disediakan dengan kadar bayaran yang berpatutan.

No comments:

Post a Comment