Sunday, 10 June 2018

Buat baik biarpun perkara kecil

Perkara baik, biarpun kecil, jika selalu dilakukan, maka jumlahnya akan menjadi besar juga. Umpamanya tidak sukar untuk kita senyum untuk melakukan sedekah. Lebih banyak orang menerima senyuman kita dan mereka terasa tenang atau gembira melihatnya, mengeratkan ukhuwah sesama muslim, bermakna kita telah bersedekah kepada banyak orang.

Perkara ini dijelaskan Rasulullah SAW melalui sabda yang bermaksud: “Janganlah kamu meremehkan kebaikan apapun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis (wajah gembira dan senyuman).” (Hadis riwayat Muslim)

Maka, hendaklah kita banyakkan senyuman dan melakukan perkara baik lain biarpun nampak remah atau dianggap tidak mendatangkan pahala. Rebutlah peluang disedikan Allah SWT dengan ikhlas dan mengikut aturannya. 

Sesungguhnya, apa saja yang mendatangkan kebaikan atau mengelak daripada melakukan perkara buruk adalah satu kebajikan. Lakukan dengan ikhlas, kemudian terserahlah kepada Allah memberi ganjarannya. Sebenarnya, kita tidak mengetahui amalan manakah yang akan memasukkan kita ke dalam syurga dan mengelak daripada api neraka.

Oleh itu, perbanyakan amalan baik walaupun perkara yang kecil.

Sabda Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku telah melihat seorang lelaki berguling-guling (bergembira) dalam syurga hanya kerana dia memotong dahan pokok di bahu jalan yang mengganggu manusia.” (Hadis riwayat Muslim)

Hadis ini mengisahkan seorang lelaki melalui sebatang jalan yang biasa dilalui kaum Muslimin dan terlihat sebatang dahan berduri seakan-akan mahu jatuh. Bimbang dahan itu jatuh dan menimpa orang ramai, lelaki berkenaan memotong dahan itu.

Disebabkan kebaikannya, Allah mengampuninya dan memasukkan dia ke syurga. Lelaki tadi kelihatannya membuat sedikit saja kebaikan, tetapi Allah merahmati dan membalas perbuatannya dengan nilai sangat besar iaitu syurga penuh kenikmatan.

Kita tidak tahu sebenarnya apakah amalan kita selama ini yang mendatangkan rahmat dan keredaan Allah. Mungkin rahmat dan reda Allah datang sewaktu kita mengukir senyuman kepada rakan, sewaktu memberi salam atau memimpin orang yang buta melintas jalan.

Jadi, meremehkan kebaikan kecil itu sebenarnya salah besar kerana siapa tahu, dengan kebaikan kecil itulah yang akan memberikan pahala besar, meraih rahmat dan reda Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barangsiapa melakukan suatu amalan yang bukan ajaran kami, maka amalan tersebut tertolak” (Hadis riwayat Muslim)

Firman Allah SWT bermaksud: “Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat dzarrahpun, niscaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar dzarrah pun, niscaya dia akan melihat (balasan) nya pula.” (Surah Az-Zalzalah, ayat 7-8).

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Apabila seseorang berjalan atas jalan, dia menjumpai ranting berduri lalu diambilnya (untuk dibuang), dan dia bersyukur kepada Allah, dan Allah mengampunkannya” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

No comments:

Post a Comment