Kerjaya
berstatus profesional seperti doktor, jurutera, peguam, akauntant dan arkitek
menjadi minat kebanyakan pelajar. Tanyalah kepada pelajar sekolah, pasti
kerjaya itu menjadi cita-cita mereka. Malah, ibu bapa juga mengharapkan anak
mereka akan mengambil jurusan itu di universiti dan seterusnya menjawat jawatan
yang berkenaan.
Memang
status individu profesional dipandang tinggi. Faktor yang selalu diberi
perhatian ialah pendapatan. Jika bekerja di sektor kerajaan, mungkin gajinya
tidak banyak berbeza berbanding jawatan lain. Hebatnya jika mereka bekerja di
syarikat besar atau membuka firma sendiri. Pendapatanya berkali ganda lebih
tinggi.
Untuk
memenuhi keperluan guna tenaga profesional, kerajaan memberi penekanan utama
mewujudkan kursus berkenaan di institut pengajian tinggi (IPT) awam. Malah, IPT
swasta turut memainkan peranan penting melahirkan lebih banyak lulusan
profesional.
Malang
sekali, banyak lulusan bidang profesional tidak berminat mencapai status
profesional dalam kerjaya masing-masing. Kebanyakan bidang profesional
memerlukan seseorang menduduki peperiksaan khas untuk melayakkan diri menjadi
profesional, selepas memiliki ijazah sarjana muda di IPT.
Inilah
delima lulusan bidang profesional. Mereka sekadar berjaya menamatkan pengajian
di IPT, tetapi tidak yakin untuk menduduki peperiksaan profesional yang
ditetapkan oleh badan profesional. Akibatnya, mereka gagal untuk memperoleh
pekerjaan di syarikat besar, maupun membuka firma sendiri.
Lihatlah
apa yang dialami oleh graduan bidang perakaunan. Majoriti IPT awam dan swasta
menawarkan kursus perakaunan yang amat diperlukan di pasaran kerja.
Malangnya,
syarikat besar tidak berminat mengambil siswazah perakaunan tanpa memiliki
kelulusan profesional. Ia dikaitakan dengan bidang tugas yang memerlukan
pekerja berstatus profesional yang ditetapkan oleh undang-undang atau badan
profesional berkenaan.
Selain
itu, kalau tidak berkaitan peraturan profesion, majikan tidak yakin siswazah
sarjana muda tanpa kelulusan profesional dapat melaksanakan tugas seperti
diharapkan. Tugas yang perlu mereka lakukan memerlukan satu tahap kemahiran
yang tinggi.
Memang
patutlah kerjaya dalam bidang profesional mendapat pulangan yang amat lumayan. Syarikat
sanggup membayar tinggi setaraf dengan kepakaran yang dimiliki. Namun, bidang
tugas sudah tentu amat mencabar. Kelulusan yang dimiliki belum melayakkan
mereka benar-benar diserahkan tugas profesional.
Sebab
itu, biasanya siswazah bidang profesional terpaksa terus belajar, dilatih
semula, menduduki peperiksaan, beban tugas yang mencabar dan sebagainya. Keadaan
ini menakutkan siswazah bidang profesional untuk meneruskan minat selama
ini.
Sebab
itu, rata-rata graduan bidang profesional, kecuali kedoktoran, lebih suka
memilih kerjaya sebagai guru, pegawai tadbir atau berkhidmat dalam sektor
kerajaan yang dianggap lebih mudah dan selesa.
Sikap
itu amat merugikan. Sekiranya mereka memperoleh peluang pekerjaan itu, ia tidak
manjadi satu persoalan. Asalkan mereka bekerja dan dapat menyumbangkan khidmat
kepada negara, itu boleh diterima biarpun bukan dalam lapangannya.
Masalahnya,
banyak yang terpaksa menganggur. Kemahiran yang dimiliki jika tidak digunakan
akan semakin hilang dari ingatan. Lama kelamaan yang tinggal dimiliki oleh
mereka hanyalah segulung ijazah yang tidak memberi apa-apa manfaat.
Siswazah
bidang profesional perlu ditanam dalam diri mereka sikap ‘bertanggungjawab’
terhadap bidang pengajian yang dipelajari. Mereka dilatiah dan diberi peluang
mengikuti kursus itu atau kepercayaan bahawa mereka akan dilahirkan sebagai
seorang profesional.
Sekiranya
ingin menjadi pegawai tadbir atau guru, elok awal-awal lagi mereka mengikuti
kursus yang berkaitan. Ia lebih mudah dan memberi satu tahap penguasaan lebih
baik dalam bidang berkenaan.
Selain
tidak mempunyai keyakinan untuk menjadi seorang profesional, banyak siswazah
bidang profesional sebenarnya tidak begitu memahami bidang kerjaya berkenaan
ketika memohon mengikut kursus. Banyak pelajar yang memohon kursus kerana
terpengaruh dengan nama atau kepopularan profesion berkenaan.
Selepas
Sijil Tinggil Persekolahan Malaysia (STPM) atau metikulasi, mereka terus
dimasukkan ke peringkat ijazah program berkenaan. Suka atau tidak, mereka
terpaksa meneruskan pengajian, biarpun telah sedar memilih kursus.
Ini
berbeza dengan pelajar yang melalui pringkat dari sijil, diploma dan kemudian
ijazah. Mereka telah melalui peringkat pengajian yang mana mereka ‘kenal’
bidang yang bakal diceburi. Biasanya golongan ini memilih kerjaya sepertimana
kursus yang diikuti.
Perkara
ini perlu diberi perhatian. Jangan terlalu ghairah untuk mengeluarkan bilangan
siswazah lebih banyak, sedangkan tersilap memilih kursus. Akibatnya, mereka
tidak menyumbang apa-apa kepada bidang yang diikuti.
Laluan
pengajian dari peringkat sijil, diploma dan ijazah biasanya lebih lama, tetapi
kesannya lebih baik. Melalui program pengajian berperingkat-peringkat memberi
peluang untuk pelajar menukar aliran atau bidang apabila menamatkan satu-satu
peringkat. Ia dapat mengelak pembaziran ilmu yang tidak dimanfaatkan.
Pertukaran
aliran atau kursus bukan bermakna satu kerugian. Pengetahuan dan ilmu yang
diperoleh tetap memberi manfaat jika digunakan sebagai gabungan dengan bidang
baru atau untuk kegunaan harian.
Motivasi
dan sokongan daripada semua pihak amat diperlukan untuk menyakinkan siswazah
bidang profesional menghadapi cabaran kerjaya masing-masing. Alang-alang
menyeluk perkasam biar sampai ke pangkal lengan.
No comments:
Post a Comment