Harta
yang diperoleh dari sumber halal memberi keberkatan kepada pemiliknya. Perkara paling
penting adalah untuk diri sendiri dan ahli keluarga. Kekayaan dimiliki menjadi
sumber kebahagiaan serta membolehkan diri dan keluarga memenuhi keperluan
hidup.
Firman
Allah bermaksud: “Oleh itu bertakwalah kepada Allah sedaya upaya kamu; dan
dengarlah (pengajaran-Nya) serta taatlah (perintah-Nya); dan belanjakanlah
harta kamu (serta berbuatlah) kebajikan untuk diri kamu. Dan (ingatlah),
sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi tabiat
bakhil, merekalah orang yang berjaya.” - (Surah al-Taghabun, ayat 16)
Jelas
sekali, harta yang dibelanjakan mengikut tuntutan syariat adalah kebajikan,
yakni mendatangkan pahala yang menjadi bekalan di akhirat. Justeru, sesiapa
yang mencari harta dan membelanjakannya memperoleh kebahagian di dunia dan
akhirat.
Muslim
yang berbuat kebajikan dengan harta yang dimiliki adalah antara orang yang
berjaya. Mereka berjihad dengan menggunakan harta untuk mendapat keredaan Allah
SWT. Para sahabat Rasulullah SAW sanggup membelanjakan harta yang dimiliki demi
mengembangkan syiar Islam.
Sebaliknya,
sesiapa mengamalkan sikap bakhil membawa kepada kehidupan lebih keliru dan
celaru kerana terlalu sayangkan harta hingga menjadi beban kepadanya. Harta
dimiliki tidak membawa apa-apa erti kerana tidak dibelanjakan.
Harta
yang berada di tangan orang bakhil akan menjadi bahan membakar dirinya di
akhirat. Disebabkan teramat sayangkan harta sehingga tidak dikeluarkan zakat
atau menghalangnya daripada melakukan perkara wajib lain.
Firman
Allah SWT yang bermaksud: “Dan adapun orang-orang yang bakhil dan merasa
dirinya cukup serta mendustakan pahala yang baik (syurga), maka Kami akan
menyediakan baginya (jalan) yang susah. Dan apabila dia telah binasa, hartanya
tidak akan bermunafaat baginya.” - (Surah al-Lail, ayat 8 – 11).
Golongan
kaya harus bersyukur dengan nikmat Allah SWT kepadanya. Allah SWT akan menambah
kurnia-Nya kepada hamba yang bersyukur dan melaknati mereka yang angkuh dengan
kekayaan.
Harta
menjadi ujian besar kepada manusia hingga ada yang memilih kufur disebabkan
sayangkan harta. Inilah yang dilalui oleh Qarun apabila ingkar mengeluarkan
zakat, sedangkan sebelum itu dia termasuk golongan beriman dan menjadi pengikut
setia kepada Nabi Musa.
Betapa
indahnya ajaran Islam dalam soal rezeki dan harta. Mencari rezeki dikira jihad
dan membelanjakannya kepada kebaikan juga satu pahala. Maka sepatutnya setiap
muslim berlumba-lumba mencari rezeki kerana bukan saja untuk memenuhi keperluan
hidup di dunia, bahkan lebih penting lagi memberi kebaikan untuk bekalan di
akhirat.
Rezeki
yang diperoleh hendaklah dibelanjakan dan sedikit disimpan untuk kegunaan masa
depan. Harta juga perlu dibelanjakan ke jalan Allah SWT, yakni hal-hal
berkaitan kebajikan seperti zakat, sedekah, wakaf dan sebagainya.
Firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya
Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada
kaum kerabat (keluarga), dan melarang melakukan perbuatan-perbuatan keji dan
mungkar serta kezaliman.” (Surah an-Nahl, ayat 90).
Sesiapa
membelanjakan hartanya kepada perkara kejahatan adalah seburuk-buruk perbuatan,
yang mana hartanya berkurangan, sedangkan dosanya bertambah.
Lebih
buruk jika harta dibelanjakan untuk membeli arak, dadah dan seumpamanya yang membahayakan
kesihatan. Harta yang sepatutnya mendatangan kebaikan telah bertukar membawa
bala.
Jadikan amalan membelanjakan harta untuk
menolong orang lain. Sesunguhnya, Allah SWT memberikan kejayaan bagi orang yang
tolong menolong dalam perkara kebaikan dan berjihad ke jalan Allah.
Perbuatan
menolong orang lain, sebenarnya 'menolong' diri sendiri. Mereka dijanjikan beroleh
kebahagiaan hidup dan semakin dimurahkan rezekinya yang tidak
disangka-sangka.
Firman-Nya
dalam surah al-Baqarah ayat 245 bermaksud: “Sesiapa orang yang mahu memberikan
pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah
melipatgandakan balasannya? Dan (ingatlah), Allah jualah yang menyempitkan dan
meluaskan (pemberian rezeki), dan kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan.”
No comments:
Post a Comment