Isu
siswazah menganggur tidak pernah surut. Fenomena siswazah menganggur menjadi
mimpi ngeri kepada siswazah. Hasrat ingin terus mendapat peluang pekerjaan dan
memperoleh pendapatan lumayan sekadar menjadi cita-cita. Sebaliknya, hakikat
yang terpaksa ditempuh ialah mendapat status penganggur terhormat.
Tentulah
masalah pengangguran siswazah sedikit sebanyak mencacatkan pencapaian
memberangsangkan institusi pendidikan tinggi (IPT) negara kita. Malaysia
berbangga dengan tahap pendidikan tinggi yang semakin diiktiraf di peringkat
antarabangsa. Buktinya, bilangan penuntut asing yang belajar di Malaysia
semakin meningkat dari setahun ke setahun.
Kajian
mendapati meningkatnya bilangan siswazah menganggur antaranya berpunca
pemilihan kursus yang tidak sesuai dengan keperluan pasaran pekerjaan. Selain
itu, tahap penguasaan siswazah juga tidak mencapai keperluan dikehendaki bakal
majikan.
Persoalannya,
penempatan pelajar di IPT ditetapkan oleh pentadbiran, dan bukannya pelajar. Biarpun
pelajar membuat pilihan, keputusan menawarkan tempat dibuat oleh IPT.
Pihak
IPT mendakwa calon sekadar mempunyai kelayakan minimun untuk mengikuti kursus
yang dianggap sukar. Sebab itu ramai pelajar gagal menamatkan pengajian, atau
sekadar memperoleh kelulusan minimun. Inilah punca mereka sukar mendapat
pekerjaa.
Pihak
IPT perlu mengadakan syarat kemasukan yang lebih ketat. Tidak guna kita
mengeluarkan siswazah yang tidak mencapai piawaian untuk memasuki pasaran
pekarjaan.
Ini
tidak pula bermakna bilangan kemasukan pelajar ke IPT mesti dikurangkan.
Bilangan pelajar ditawarkan tempat di IPT perlu ditingkatkan seperti yang
dirancangkan. Tetapi, mereka hendaklah ditawarkan mengikuti kursus yang
bersesuaian.
Sebagai
contohnya, pelajar memiliki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak
semestinya ditawarkan mengikuti pengajian peringkat ijazah. Jika keputusan STPM
sekadar sederhana, lebih sesuai mereka ditawarkan mengikuti kursus peringkat
peringkat diploma atau sijil. Ini bagi memastikan keupayaan mereka mencapai
kelulusan cemerlang di peringkat diploma atau sijil nanti.
Biarpun
kaedah ini merugikan tempoh pengajian, kerana pelajar memiliki STPM sepatutnya
terus mengikuti kursus peringkat ijazah, itu lebih baik daripada mengambil
kursus yang tidak mampu diikuti dengan cemerlang, dan kemudian menganggur
selepas tamat pengajian.
Amat
mendukacitakan, majoriti siswazah yang menganggur terdiri bumiputera. Benarkah
siswazah bumiputera sukar mendapat pekerjaan kerana diskirminasi kaum oleh
syarikat besar yang banyak dikuasai bukan bumiputera?
Sebenarnya,
siswazah bukan bumiputera juga sukar mendapatkan pekerjaan. Tetapi mereka tidak
rela digelar penganggur. Mereka menimba pengalaman bekerja dari peringkat
bawah.
Inilah
realiti yang perlu dicontohi siswazah bumiputera. Jangan hanya ingin bekerja
bergaji tinggi.
Dalam
banyak situasi, kelulusan bukan menentukan kemampuan bekerja. Kelulusan sekadar
dijadikan lambang kecemerlangan akademik dan membentuk keyakinan diri. Kejayaan
sebenar ialah kemampuan melaksanakan tanggungjawab pekerjaan.
Bagi
kerjaya bukan profesional yang tidak melibatkan kawalan badan profesional,
majikan lebih menitikberatkan pengalaman. Pekerja baru diambil berdasarkan
kepada potensi kemampuan diri. Kelulusan akademik sekadar membuktikan tahap
pengajian.
Dalam
hal ini, banyak jawatan penting dalam syarikat bersaiz sederhana dipegang oleh
pekerja berpengalaman, biarpun tidak mempunyai kelulusan tinggi.
Ini
bermakna siswazah yang baru tamat pengajian terpaksa bersaing dengan pekerja
berpengalaman untuk mengisi jawatan. Dalam persaingan itu, siswazah sering
diketepikan.
Ramai
berpendapat, jika tidak diberi peluang, bilakah siswazah akan memperoleh
pengalaman. Sebenarnya, inilah hakikat yang perlu diterima, yakni bekerja
dahulu dari peringkat rendah.
Jika
siswazah mampu membuktikan kemampuan bekerja, tidak ada sebab mengapa mereka
tidak mampu meningkat. Mereka juga boleh memohon kerja di tempat baru, dan
ketika itu mereka sudah boleh mengemukakan pengalaman berkerja untuk dinilai
oleh bakal majikan baru.
No comments:
Post a Comment