Tuntutan
mencari rezeki menjadi tugas semua individu yang berkemampuan melakukannya.
Tugas ini tidak terkecuali bagi golongan belia dan remaja lepasan sekolah dan
pusat pengajian tinggi.
Bekerja
mencari rezeki halal penting bagi memenuhi keperluan hidup agar dapat menjalani
kehidupan dengan selesa dan mampu menjalankan amanah Allah dengan
sebaik-baiknya.
Tanpa
mempunyai pekerjaan yang memberi pendapatan, belia dan remaja terpaksa terus
mengharapkan bantuan daripada ibu bapa untuk mendapat wang bagi membeli sesuatu
keperluan dan perkhidmatan. Sikap itu merugikan diri sendiri dan negara. Tenaga
dan fikiran yang dikurniakan Allah perlu digunakan untuk kebaikan, bukannya
dibiarkan tanpa dimanfaatkan.
Setiap
belia perlu berdikari mencari pekerjaan yang dapat memberi pendapatan, terutama
mereka dari keluarga miskin. Sikap terus bergantung kepada ibu bapa akan
menambah beban ekonomi keluarga.
Anak-anak
yang telah mencapai usia mampu bekerja (dalam konteks undang-undang di negara
kita usia 18 tahun dan ke atas dikira layak bekerja) perlu bekerja. Bahkan,
jika telah meninggalkan bangku sekolah lebih awal (tidak meneruskan
persekolahan disebabkan gagal), elok terus bekerja mengikut kesesuaian
kelulusan dan tenaga. Pendapatan yang diperolehi dapat digunakan membantu
keluarga meningkat taraf kehidupan seharian.
Amat
besar pahala anak-anak yang membantu keluarga dalam soal kewangan. Anak yang
soleh (melakukan sesuatu mendatangkan kebaikan untuk ibu bapa dan keluarganya)
dijanjikan balasan kebaikan. Bahkan, sesiapa sahaja melakukan kebaikan itu
pasti akan mendapat kebaikan.
Sabda
Rasulullah bermaksud: “Sesiapa mencari rezeki halal untuk menjaga dirinya
supaya tidak meminta-minta dan berusaha memenuhi keperluan hidup keluarganya,
serta dapat pula membantu tetangganya, maka di akhirat kelak dia akan menemui
Allah dengan wajah berseri-seri bagaikan bulan pernama.” -(Hadis riwayat Thabrani).
Islam
menggalakkan umatnya mencari kekayaan dan kemewahan hidup kerana dengannya
Islam mampu berkembang, dipandang tinggi dan dipertahankan jika terdapat
ancaman. Sebab itu mencari rezeki satu tuntutan agama yang dikira sebagai
ibadat.
Maksud
sabda Rasulullah: “Mencari rezeki halal adalah fardu selepas fardu
solat.”. Firman Allah bermaksud: “Dan
carilah kebahagiaan di akhirat yang telah Allah janjikan kepada kamu. Tetapi,
janganlah pula kamu lupa akan habuan kamu di akhirat.” - (surah al-Qashash ayat
77).
Mereka
yang bekerja bukan sahaja bertujuan memperolehi kekayaan, bahkan sebagai satu
cara berjuang ke jalan Allah. Sesuatu yang mendatangkan kebaikan, merupakan
satu perjuangan yang diberi balasan kebaikan.
Kisahnya,
sedang Rasulullah berbual-bual dengan para sahabat, seorang lelaki berbadan
tegap dan kuat (dalam lingkungan umur belia) lalu di hadapan mereka. Maka para
sahabat pun berkata: “Ya Rasulullah, alangkah baiknya jika orang itu berjuang
untuk membela agama Allah.” Lalu Rasulullah pun menjawab dengan sabdanya:
“Jika
lelaki itu keluar dari rumahnya untuk mencari nafkah untuk anak-anaknya yang
masih kecil, itu juga fisabilillah namanya. Mencari rezeki untuk kedua orang
tuanya yang sudah tua, juga dinamakan fisabilillah. Mereka mencari rezeki untuk
dirinya sendiri supaya tidak meminta-minta juga dikira fisabilillah. Tetapi,
jika keluar kerana niat bongkak dan menunjuk-nunjuk, ia dikira sebagai
fisabilissyaitan (mengikut jalan syaitan).” - (hadis riwayat at-Thabrani).
Jelaslah
bahawa usaha mencari rezeki perkara yang amat dituntut dalam Islam. Kesempatan
bekerja ketika usia muda dan masih bertenaga merupakan peluang yang perlu
digunakan sepenuhnya. Alasan ingin enjoy dan belum mempunyai tanggungjawab,
sebagai sebab belia tidak mahu bekerja amat janggal.
Rasulullah
pernah mengingatkan belia (pemuda) agar menggunakan kesempatan umur muda
sebelum sampai umur tua. Ketika muda tenaga masih kuat, bersemangat, tahan
cabaran dan bercita-cita. Kesempatan ini perlu digunakan sepenuhnya untuk
membina kejayaan hidup. Umur muda kesempatan bagi memulakan satu perjuangan yang
masih jauh.
No comments:
Post a Comment