Nilai murni bersifat universal yang
menjurus kepada adab terpuji, peradaban dan tatasusila individu dalam kerangka
perhubungannya dengan tuhan, manusia dan alam. Perbincangan nilai murni cenderung merangkumi aspek agama, rohaniah, moral
dan estetika yang mencetuskan stimulasi positif seperti ketenangan emosi,
kedamaian pemikiran, jiwa yang bersih dan keluhuran akal budi manusia.
Umumnya, nilai murni dari perspektif
Islam berfungsi sebagai petunjuk dan memandu manusia ke arah kesejahteraan dan
kebahagiaan melalui pedoman wahyu. Nilai-nilai murni Islam lebih fokus kepada
harmonisasi antara doktrin rabbani dan kemanusiaan untuk mencapai kejayaan
hakiki dalam dimensi duniawi dan ukhrawi.
Nilai murni pada pandangan Islam
bersifat alami dan diikat dengan doktrin agama. Individu yang menghayati
nilai-nilai itu akan mendapat ganjaran kebaikan. Bagaimanapun, jika berlaku
sebaliknya dengan nilai-nilai berkenaan, maka pelakunya akan mendapat dosa.
Justeru, melihat kepentingan itu,
manusia diingatkan supaya memperkaya dan melengkapkan diri dari aspek zahir dan
batin dengan nilai-nilai yang positif.
Ini kerana, apabila keperluan
rohaniah manusia dari aspek jasad dan roh tidak disantapkan dengan nilai luhur,
ia boleh menyebabkan berlakunya kecacatan. Secara tidak langsung ia boleh
merosakkan fungsi asal manusia untuk menjadi insan berkualiti.
Meskipun pada zahirnya kelihatan
jasad individu itu nampak sihat, dari aspek batiniahnya dijangkiti dengan
penyakit yang boleh merosakkan jiwa. Akibatnya, timbullah sifat gelisah, marah,
dendam, kecewa dan pelbagai lagi sifat tercela.
Kehidupan manusia di atas muka bumi
ini bukanlah hanya bertujuan untuk memenuhi survival melangsungkan kehidupannya
sebagai makhluk seperti makan, minum, berkeluarga, mengembangkan zuriat,
bermasyarakat dan sebagainya.
Keperluan
yang dinyatakan itu cuma bersifat menyempurnakan masalah asasi yang dihajati
oleh manusia. Objektif yang perlu dicapai oleh manusia daripada perspektif
konsep pandangan hidup Muslim lebih tinggi dan murni daripada keperluan
berkenaan.
Insan
yang diciptakan Allah dan mendapat kedudukan istimewa di sisi makhluk lain
perlu memelihara status kedudukan ini. Meskipun begitu, kegagalan manusia
memenuhi tanggungjawabnya sebagai insan dalam kaca mata Islam akan meruntuhkan
pengiktirafan berkenaan sehingga darjat manusia sama saja dengan status haiwan.
Dalam
konteks agama Islam, ruang lingkup amalannya perlu diharmonikan dengan nilai
murni yang perlu dihayati dan dibudayakan oleh setiap individu Muslim agar
kejayaan yang ingin dicapai benar-benar menepati falsafahnya.
Keperluan
kepada nilai itu penting kepada setiap insan dalam merangka kehidupan manusia
yang seimbang dari aspek rohani, spiritual dan intelektual. Dalam mengurus
institusi manusia amnya, elemen agama, akhlak dan etika perlu diberi keutamaan.
Elemen yang dinyatakan ini menjadi
asas yang bersifat fundamental dalam proses membangunkan nilai-nilai
kemanusiaan positif. Ia perlu diolah secara kreatif dan komprehensif supaya
pemahaman nilai-nilai murni yang berteraskan nilai rohaniah dapat diseimbangkan
dengan faktor pematuhan, penghayatan dan pengamalan.
Banyak kepincangan berlaku dalam
institusi masyarakat antaranya adalah disebabkan oleh mengutamakan nilai
materialistik, bersifat individualistik, terpengaruh dengan faktor peredaran
semasa serta nilai negatif lain. Oleh yang demikian, tidak menghairankan
sekiranya pihak pemerintah begitu menekankan penghayatan nilai-nilai murni di
kalangan masyarakat.
Realitinya,
kepentingan nilai-nilai murni perlu dijadikan agenda keutamaan dalam proses
membangunkan institusi manusia. Hal yang demikian disebabkan agama adalah
kemuncak keutamaan bagi manusia dan agama juga menjadi petunjuk hakiki kepada
kejayaan dikecapi manusia.
Kehidupan
manusia perlu dibimbing dengan panduan wahyu supaya setiap tindakannya sentiasa
bertepatan dengan tuntutan keagamaan dan selari dengan fitrah kemanusiaan.
Manusia yang terpinggir dengan pedoman wahyu sering kali melanggar arahan dan
peraturan agama serta bertindak di luar norma kemanusiaan demi memenuhi
cita-citanya atas desakan hawa nafsu.
Sebaliknya,
individu Muslim yang beriman sentiasa bertindak berasaskan nilai-nilai mahmudah
yang diutarakan oleh Islam dan sentiasa berhati-hati dalam tindak-tanduknya.
Golongan manusia sedemikian bukan saja mempunyai personaliti dan akhlak terpuji
sesama manusia, malah pada masa sama, mereka juga memiliki adab yang baik
dengan Allah SWT.
Sebagai
individu mukmin yang baik, ia sentiasa mengutamakan nilai-nilai murni dalam
kehidupan seperti berakhlak, bercakap benar, beramanah, akauntabiliti,
mengutamakan pemuafakatan dan persefahaman, bertoleransi, menghormati hak orang
lain dan sebagainya.
Manusia
yang bertakwa kepada Allah SWT sentiasa berhati-hati dan takut melakukan
sesuatu perkara yang bertentangan dengan syarak sama ada secara terang-terangan
atau di luar pandangan manusia.
Ironinya,
inilah keistimewaan dan keunikan sistem agama yang berteraskan order tauhid
rabbani. Sistem ini dihormati dan diiktiraf oleh manusia atas sifatnya yang
sejagat dalam memelihara keharmonian dan ketenteraman manusia bukan saja di
alam dunia bahkan berkesinambungan di alam akhirat.
Meskipun
nilai-nilai murni dilihat sebagai subjektif, mengetepikan nilai moral rohaniah
akan menjadi pembangunan insan tidak bersifat holistik. Ini kerana, dengan
mengabaikan nilai-nilai luhur yang mempengaruhi tingkah laku manusia ia akan
memberi dampak negatif kepada kerangka perhubungan manusia sesama manusia
secara bersepadu.
Justeru,
nilai murni yang bersumberkan nilai rohaniah menjadi formula terbaik untuk
mendidik masyarakat mengenai nilai-nilai fitrah kemanusiaan yang murni,
menyedarkan manusia mengenai hak dan tanggungjawab sosial lain.
No comments:
Post a Comment