Saturday, 18 August 2018

Ikhlas kunci kejayaan

Ikhlas adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim. Sifat ikhlas membuatkan seseorang melakukan sesuatu perkara berdasarkan apa yang sepatutnya dilakukan, terutama dalam hubungan kita dengan Allah. 

Sesuatu perbuatan dikira ibadat dan memberi kebaikan di akhirat jika dilakukan dengan ikhlas.

Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menekankan keutamaan bersifat ikhlas. Firman Allah bermaksud: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5).

Keikhlasan sebenarnya bergantung kepada apa yang tersimpan di dalam hati. Ia mempunyai kaitan rapat dengan niat. Hati yang ikhlas sentiasa menyimpan niat yang baik setiap apa yang dilakukan. 

Tiada perbuatan yang didasarkan dengan ikhlas yang akan membawa kepada keburukan. Sebab itu, setiap amalan ditentukan pahala jika dilakukan dengan ikhlas.   

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Bahawa sesungguhnya Allah tidak memandang kepada tubuh badan dan rupa paras kamu tetapi Dia hanya memandang kepada hati sanubari kamu.”  (Hadis riwayat Muslim).

Memang sukar untuk menilai keikhlasan seseorang, kerana apa yang diucapkan dan dilakukan belum tentu sama dengan apa yang tersimpan di dalam hatinya. 

Banyak orang sekadar mengucapkan pengakuan ikhlas di mulut, tetapi tidak di hati. Apa yang dilakukan sekadar berpura-pura untuk mendapat apa yang diingini.  

Namun begitu Allah tetap mengetahui apa yang tersimpan di dalam hati setiap manusia. Firman Allah bermaksud: “Katakanlah, jika sekalipun kamu sembunyikan atau kamu terangkan apa yang di dalam hatimu itu, nescaya Allah mengetahuinya.” (Surah Ali Imran, ayat 29).

Sebab itu amat rugilah sesiapa yang mengamalkan sifat berpura-pura. Sifat berpura-pura tidak lebih daripada seperti menipu diri sendiri. Dia merasakan dirinya bijak dapat menipu orang lain, tetapi dialah sebenarnya tertipu dengan perbuatannya itu. 

Insan yang berpura-pura melakukan kebaikan adalah manusia paling rugi. Hakikat sebenarnya dia memang melakukan perbuatan itu. Disebabkan tidak ikhlas, apa yang dilakukan itu tidak diterima sebagai ibadah. 

Sebaliknya, apa yang dilakukan itu hanya mendapat seperti apa diniatkan seperti mendapat pujian, bermegah dan menipu.  

Sebenarnya keikhlasan bukan boleh dipaksa-paksa. Keikhlasan tidak lahir jika tiada perasaan mendalam terhadap sesuatu perkara yang dilakukan. Dengan kata lain, keikhlasan melakukan semata-mata kerana Allah tidak akan lahir jika tahap keimanan masih rapuh.

Keikhlasan hanya tercapai dengan adanya kekuatan iman. Orang beriman tidak memisahkan kehidupannya daripada menghubungkaitkan setiap amalan yang dilakukan semata-mata kerana Allah. Orang beriman sedar bahawa apa yang dilakukan adalah tanda ketaatan kepada Allah.  

Muslim sejati sentiasa menyimpan hasrat untuk menghulurkan sumbangan yang besar kepada kejayaan ummah. Apa yang dilakukan semata-mata ikhlas, bukan mencari nama, pengiktirafan atau kepentingan peribadi. 

Orang yang bersifat ikhlas adalah insan yang melakukan tugas seharian sepertimana yang sepatutnya dilakukan, baik sebagai hamba-Nya, dalam perhubungan sesama manusia dan pekerjaan seharian. 

Jelas sekali keikhlasan melakukan ibadat amat penting bagi menentukan balasan di sisi Allah. Tegasnya, tidak ada ibadat tanpa keikhlasan. 

Tidak ada satupun yang diperintahkan terhadap manusia, melainkan untuk mengabdikan diri kepada Allah. 

Insan yang ikhlas melakukan ibadat sentiasa mendapat ketenangan dan kebahagiaan daripada Allah sebagai ganjaran kepada keikhlasannya. Orang yang ikhlas tidak merasakan melakukan ibadat sebagai satu beban. 

Ibadat yang dilakukan dengan penuh keikhlasan terasa kemanisan imannya. Semakin banyak yang dilakukan, lebih lagi dirasakan nikmatnya. 

Sebab itu, biarpun tidak disaksikan sesiapa, orang yang ikhlas tetap meneruskan ibadat. Malah, seboleh-bolehnya dia tidak mahu ibadatnya itu diketahui oleh orang lain. Sembahyang  sunat pada tengah malam ketika kebanyakan orang lain sedang nyanyak tidur adalah antara tanda ibadat yang dilakukan dengan ikhlas.  

Sedarlah, setiap apa yang dilakukan di dunia ini dibalas di akhirat nanti. Jadi, ikhlaskan setiap tugas dan perbuatan untuk mencari keredaan Allah. 

Mereka yang ikhlas dalam menjalani amanah Allah sebagai khalifah pasti mendapat kebahagiaan di dunia dan apa yang diusahakan untuk bekalan di akhirat juga terlaksana. 

No comments:

Post a Comment