Sunday, 19 August 2018

Nikmati keindahan Bukit Panorama Sungai Lembing

Bukit Panorama terletak di kawasan Sungai Lembing, Kuantan. Tidak jauh daripada pekan Sungai Lembing dan senang untuk pergi ke tapak permulaan pendakian. Jarak dari bandar Kuantan kira-kira 35 kilometer. Bukit Panorama semakin terkenal sebagai lokasi pendakian, termasuk pendaki dari luar Pahang.

Paling ketara apa yang dicari atau diingini pendaki Bukit Panorama ialah pemandangan matahari terbit. Ketika itu juga mereka berpeluang untuk melihat karpet awan yang sangat memukau. Karpet awan atau hamparan awan memang menarik seperti kita berada di padang awan yang putih dan di celahnya terpancar cahaya matahari yang mula keluar.

Untuk melihat panorama matahari naik dan karpet awan, pengunjung perlu berada di atas puncak selewat-lewatnya 08.00 pagi. Seelok-eloknya biar sudah berada di puncak pada pukul 07.00 pagi atau mengikut waktu matahari terbit yang terdapat dalam takwin waktu sembahyang.

Bagi pengunjung yang tinggal jauh dan tidak mahu bermalam di Kuantan atau di Sungai Lembing, ada yang sanggup bertolak dari rumah seawal 02.00 pagi, bagi yang tinggal di Kuala Lumpur dan sewaktu denganya. Jarak dari Kuala Lumpur ke Sungai Lembing melalui lebuh raya kira-kira 270 kilometer mengambil masa perjalanan kira-kira tiga jam. 

Jadi, sempatlah mereka bersembahyang subuh di mana-mana masjid di Sungai Lembing atau di kawasan tempat mula mendaki.

Bagi yang tidak ingin menempuh perjalanan dan pendakian dalam gelap, boleh mula mendaki pada awal pagi. Selepas hari telah terang. Memanglah terlepas peluang untuk melihat matahari naik dan lautan awan, tetapi ia lebih selesa dan selamat. Namun, janganlah naik lewat sangat melepasi pukul 10.00 pagi kerana ketika itu cuaca sudah panas.

Bukit Panorama yang ketinggian 271 meter itu sebenarnya tidak sukar untuk didaki. Masa pendakian sekitar 30 minit hingga 50 minit mengikut keupayaan masing-masing. 

Pendakian tidak sukar kerana sudah ada laluan bersimen dan bertangga yang disediakan. Siap dengan ada palang pemegang untuk memudahkan pendakian. Sedikit sahaja laluan trek bertanah yang perlu dilalui.

Di puncak Bukit Panorama, pendaki boleh melihat sekeliling pekan Sungai Lembing. Menariknya, pemandangan dari puncak Bukit Panorama boleh melihat sekeliling dari pelbagai sudut.

1 comment:

  1. Lebih kurang sama ngn criter aku main jubuq ngan bapa laki aku,kuat nak mambos. Xsure dia org minang ke jawa

    ReplyDelete