Bala
diturunkan kepada manusia sebagai bentuk pembalasan dan ujian. Dalam al-Quran terdapat
ayat yang menceritakan balasan bala yang menimpa umat terdahulu. Antara kisah
tersebut ialah mengenai kejadian Qarun yang ditelan oleh bumi bersama harta
kekayaannya, nasib menimpa Firaun yang mati lemas ditelan laut dan banjir besar
menimpa kaum Noh.
Kisah
tersebut menjelaskan balasan terhadap umat terdahulu akibat tidak beriman,
kufur dan ingkar perintah Allah SWT.
Firman
Allah SWT bermaksud: “Apakah kau tahu bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum
Aad? (Iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi yang
belum pernah dibangun (satu kota) seperti itu di negeri-negeri lain, dan kaum
Tsamud yang memotong batu-batu besar di lembah. Dan terhadap kaum Firaun yang
mempunyai bangunan-bangunan megah. Mereka telah telah berbuat sewenang-wenang
dalam negeri. Banyak membuat kerosakan. Kerana itu Tuhanmu menimpakan kepada
mereka cemati azab. Sesungguhnya Tuhan benar-benar mengawasi.” (Surah al-Fajr,
ayat 6-14).
Sebelum
menurunkan bala, Allah SWT telah berulang kali memberi peringatan melalui
perantaraan rasul dan nabi yang diutuskan kepada kaum berkenaan. Namun, kaum
itu terus ingkar dan mempersenda-sendakan utusan Allah SWT dan terus melakukan
perkara yang ditegah.
Sesungguhnya,
bala yang menimpa diri seseorang, maupun masyarakat boleh dilihat dari dua
sudut, iaitu pembalasan dan ujian. Sama ada sebagai balasan maupun ujian, kita
patut menerimanya dengan reda. Sikap keluh resah dan tidak dapat menerima
hakikat bala yang menimpa diri, bukan jalan menyelesaikan masalah, bahkan menambahkan
lagi bebanan.
Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan Muslim yang bermaksud: “Sangat mengagumkan keadaan seorang muslim
kerana segala keadaannya serba baik dan tiada mungkin terjadi demikian kecuali
bagi orang mukmin, jika mendapat nikmat dia bersyukur. Itu
adalah kebaikan baginya dan bila mendapat kesusahan dia bersabar, itu kebaikan
baginya.”
Bala
menimpa individu adalah berkaitan dosa atau kecuaian dilakukan individu
berkenaan. Bala umum pula menimpa seluruh penduduk mendiami sesuatu kawasan, contohnya
wabak penyakit, banjir dan gempa bumi. Bala dalam bentuk umum dianggap satu
pembalasan bagi orang berdosa dan menjadi ujian kepada orang beriman.
Seorang
sufi, Junaid al-Baghdada berkata: “Bala
adalah pelita bagi orang arif, menyedarkan orang murtad, memperbaiki orang
mukmin dan menghancurkan orang yang lalai. Tidak seorang pun akan mendapat
manisnya iman sebelum dia ditimpa bala, rela dan bersabar.”
Sesiapa
berdepan dengan bala maka hendaklah dilakukan usaha memperbaiki atau mengatasi
keadaan itu agar tidak terus menanggung kesan buruknya. Usaha untuk mengatasi bala bukan bermakna
melawan kekuasaan Allah SWT. Bahkan, Allah SWT menyuruh agar manusia berusaha
mengelak sebarang bentuk bala mengikut kesesuaian.
Usaha
mengatasi bala dengan rasa keimanan menghasilkan pahala. Allah SWT akan membuka
rahmat-Nya dengan seluas-luasnya kepada mereka yang beriman. Mereka yang
ditimpa bala perlu reda dengan apa yang terjadi. Pada masa yang sama berfikir
dan mengambil tindakan yang sewajarnya mendepani bala itu.
Sesiapa
yang hanya berserah kepada takdir semata-mata dan rasa kecewa dengan bala yang
menimpa dirinya, maka bala itu benar-benar mendatangkan keburukan di dunia dan
akhirat. Mereka diuji dengan bala yang menyebabkan diri terus berada dalam
kemurkaan Allah SWT.
Rasulullah
SAW bersabda diriwayatkan Tirmizi yang bermaksud: “Apabila Allah mencintai
sesuatu kaum, mereka Dia menguji mereka. sesiapa yang reda, ia akan mendapat
keredaan Allah dan sesiapa yang marah, ia akan mendapat kemurkaan Allah.”
Allah
SWT memberikan kita akal untuk memikirkan perkara kebaikan dan menyelesaikan
masalah yang menimpa diri, keluarga dan masyarakat. Sesungguhnya Allah SWT
tidak mendatangkan sesuatu perkara melainkan ada hikmahnya.
Rasulullah
SAW bersabda bermaksud: “Demi zat yang diriku ada di tangan-Nya, tiadalah Allah
menentukan sesuatu keputusan kepada hamba-Nya yang mukmin melainkan akan
membawa kebaikan kepadanya.” (Hadis
riwayat Muslim).
Sebaliknya,
sesiapa menghadapi bala dengan perasaan tidak menentu, takut dan marah akan
menjadikan keadaan lebih kelam kabut. Orang yang tidak dapat menerima hakikat
apa yang menimpa dirinya mudah berputus asa dan mencampakkan diri dalam
kebinasaan.
Mereka
yang berada dalam keadaan marah dan kecewa akan terputus rahmat Allah SWT
kepadanya. Sebaliknya, syaitan pula akan menguasai diri sehingga berjaya mempengaruhi
manusia melakukan perbuatan buruk seperti membunuh orang lain dan diri
sendiri.
Sesiapa
berdepan musibah dan cubaan hidup hendak dia bersabar. Ingatlah, orang yang sabar bakal beroleh
kejayaan berlipat ganda di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT bermaksud: “Mereka itulah yang diberikan pahalanya dua
kali ganda disebabkan mereka telah sabar.” (Surah al-Qasas, ayat 54)
Sabda
Baginda SAW dalam hadis lain pula, bermaksud: “Seseorang Muslim yang ditimpa sesuatu
kesakitan, kepenatan, dukacita, kegelisahan, kesedihan atau duri yang
mengenainya, akan diampunkan dosa oleh Allah SWT” (Riwayat Bukhari).
Bagi
menghadapi musibah, Islam mengajar umatnya beberapa cara dan adab, antaranya
ialah:
-
Bersabar ketika mula ditimpa musibah.
-
Mengucap ‘Innalillahi wa inna ilaihi raji’un’ iaitu merujuk kembali apa pun
musibah yang berlaku adalah kehendak dan ketentuan Allah SWT.
-
Menenangkan lidah dan badan ketika ditimpa sesuatu tetapi menangis diharuskan
dan bukan menjadi kesalahan.
-
Umat Islam tidak dibenarkan melampau dalam menzahirkan kesedihan ketika ditimpa
sebarang musibah. Dikhuatiri mendatangkan perasaan tidak puas hati dengan
ketentuan Allah SWT ataupun musuh bergembira melihat kesedihan kesan musibah
yang kita hadapi.
-
Cendekiawan Islam dan orang yang bertakwa berusaha menyembunyikan musibah.
Mereka gembira jika diuji dengan musibah kerana mengenangkan ganjaran yang
bakal diterima.
- Berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT, semoga musibah yang menimpa menjadi titik tolak kepada kita untuk berubah ke arah lebih baik, lebih kuat pergantungan kepada Allah SWT, lebih menjaga syariat, lebih berusaha menuntut ilmu dan beramal untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat.
- Berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT, semoga musibah yang menimpa menjadi titik tolak kepada kita untuk berubah ke arah lebih baik, lebih kuat pergantungan kepada Allah SWT, lebih menjaga syariat, lebih berusaha menuntut ilmu dan beramal untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat.
No comments:
Post a Comment