Monday, 17 September 2018

DENDAM SIFAT ROSAK JIWA PELAKUNYA

Hidup bertoleransi dan saling menghormati menjadi agenda penting masyarakat bertamadun. Hakikatnya tidak ada individu yang kebal bebas melakukan apa saja diingini, kerana kita dibatasi undang-undang dan hukum agama.

Sikap ego dan mementingkan diri bukan mendatangkan kebaikan kepada pelakunya, sebaliknya menimbulkan kesan emosi yang tidak stabil dalam diri. Sebab itu, satu amalan terbaik ialah sentiasa merendahkan diri dan bersedia untuk memaafkan orang lain.

Setiap masa kita akan merasai bahang kemarahan apabila melihat dan merasai sesuatu yang menimbulkan kemarahan. Justeru, jika tidak ditangani dengan berkesan, kemarahan akan menguasai diri yang seterusnya membinasakan diri.

Keadaan itu hanya dapat diredakan jika adanya sifat pemaaf di dalam diri yang bertindak seperti air mematikan api. Sifat pemaaf menjadi benteng yang menghalang daripada timbulnya sifat pemarah. Api kemarahan tidak akan wujud dalam diri mereka yang benteng kemaafan kuat.   

Sifat pemaaf meletakkan seseorang pada kedudukan tinggi dan dipandang mulia oleh masyarakat. Ia menjadi kekuatan dalaman diri daripada mudah dikuasai sifat negatif lain.  Sifat pemaaf akan mempengaruhi diri melakukan perbuatan baik lain seperti penyabar dan penyayang.    

Ada beberapa ayat al-Quran dan hadis yang menekankan keutamaan bersifat pemaaf yang disebut sebagai sifat orang yang hampir di sisi Allah.

Allah berfirman bermaksud: "Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan." (Surah Ali Imran, ayat 132)

Orang yang bersifat pemaaf adalah insan yang tidak berdendam dan buruk sangka terhadap orang lain. Biarpun pernah diperlakukan dengan sesuatu yang menimbulkan perasaan marah, dia memaafkan perbuatan itu dan menerimanya dengan fikiran positif. 

Insan bersifat pemaaf dan berhati mulia ini tidak hanya memaafkan apabila pelakunya memohon maaf, bahkan bersikap terbuka. Dia tidak mahu sikap amarah mengganggu perasaannya. Maka itu sifat itu dilepas segera dengan memberi kemaafan.

Sifat pedendam adalah penyakit jiwa yang boleh merebak mendatangkan pelbagai sifat negatif lain dalam diri. Jadi, sesiapa ingin membersihkan diri daripada sifat negatif haruslah terlebih dulu membuang sifat dendam.

Sifat pemaaf adalah lawan sifat pedendam yang membersihkan kekotoran hati. Melaluinya, insan pemaaf tidak merasa apa-apa dendam terhadap orang lain. Dia telah memaafkan perkara yang lalu, sedang berlaku dan mungkin juga apa yang akan berlaku. 

Sifat itu memberi keyakinan diri bahawa yang berhak menghukum hanyalah Allah. Biarlah Allah yang menentukan balasan terhadap apa yang dilakukan oleh orang lain terhadap kita. Individu pemaaf dan sabar sentiasa tenang dan sentiasa muhasabah diri apa yang berlaku.   

Mungkin apa yang kita tidak suka itu sebenarnya berpunca akibat perbuatan sendiri yang mana Allah memberi pembalasan dengan cara ada pihak lain melakukan sesuatu yang tidak kita suka.

Sebenarnya tidak rugi kita memaafkan orang lain. Apa yang telah berlaku telah menjadi sejarah. Kita perlu melihat keuntungan di akhirat berdasarkan janji yang diberikan oleh Allah melalui ayat di atas.

Sikap ego tidak mahu bertolak ansur menyebabkan perkara kecil memberi kesan buruk berterusan. Betapa rugi terpaksa menanggung beban yang berat dalam tempoh masa lama sedangkan boleh diselesaikan segera.  

Realiti yang dapat dilihat pada hari ini, lebih banyak yang suka menyalahkan pihak lain sebagai punca timbul masalah yang dihadapinya. Mereka tidak menerima hakikat bahawa punca sebenarnya daripada dirinya. 

Mereka yang tidak mahu memaafkan dan suka beradu kekuatan boleh disamakan seperti haiwan. Sifat haiwan tidak mahu mengaku kalah untuk mendapat apa yang diingini tanpa belas kasihan kepada lawannya. Alangkah hinanya manusia bersifat seperti haiwan.

Perasaan dendam dan curiga yang terus menguasai diri mudah bertukar menjadi tindakan lebih buruk jika tercetusnya percikap api kemarahan lain. Syaitan akan sentiasa memainkan peranan untuk menimbulkan suasana lebih buruk. Godaan syaitan sukar ditepis jika iman lemah. 

Ada orang yang bersikap ego tidak mahu mengaku kesalahan yang dilakukan, lantas tidak mahu memohon maaf. Dalam hal ini, tidak salah jika satu pihak lagi mengambil langkah memperbaiki keadaan. 

Contohnya, bergaullah secara biasa seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Jangan tunjukkan seperti si pembuat salah itu telah melakukan satu kesalahan.     

Dengan cara demikian, si pembuat kesalahan itu malu dengan sendirinya dan menyedari akan kesilapannya. Sifat memaafkan, biarpun si pembuat kesalahan tidak memohon maaf, membuktikan betapa luhurnya peribadi itu. 

Sesungguhnya usaha meneruskan tali silatulrahim agar tidak putus satu amalan amat mulia. Untuk hidup bahagia dan selamat, kita perlukan lebih banyak orang berada di sisi kita. Sesungguhnya hidup saling berhubung dan bantu membantu adalah antara nikmat yang Allah kurniakan kepada manusia.

Maka sebab itu, sebarang perkara yang boleh memutuskan silatulrahim perlu dijauhkan. Suburkan sikap saling memaafkan dan hapuskan sifat pendendam, dengan itu kita akan hidup di dalam masyarakat dengan penuh keceriaan, aman dan terhindar daripada perkara buruk.         

Firman Allah SWT yang bermaksud: Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. (Ali-Imran: 134)

Ibnu Kathir dalam tafsirnya antara lain menafsirkan: "Mereka tidak melampiaskan kemarahannya kepada orang lain, tetapi sebaliknya, mereka menahannya dengan mengharap pahala di sisi Allah SWT.

No comments:

Post a Comment