Antara tanda penuaan atau usia telah tua ialah penglihatan
akan terganggu. Daya tumpuan penglihatan juga semakin kurang.
Apa yang dilihat
tidak lagi jelas. Isyarat maklumat penglihatan yang dihantar untuk diterjemahkan
oleh otak sering menjadi tidak tepat.
Contohnya, jika akan lihat gambar di atas
ada dua orang di atas motosikal, itu bukti anda sudah tua dan perlu menyedari
hakikat itu.
Anda tidak perlu ringsing. Itu satu
perkara biasa dalam proses usia meningkat tua. Yang perlu difikirkan adakah
bekalan untuk akhirat telah cukup atau masih banyak yang perlu dicari.
Ingatlah, mati itu pasti. Akhirat itu adalah benar. Soal balasan syurga dan
neraka itu adalah benar.
Di
Malaysia, orang tua mempunyai gelaran lain seperti warga emas, golongan veteran
atau 'senior'.
Takrifan warga emas adalah mereka yang berusia 50 tahun ke atas.
Pada usia ini, orang selalu beranggapan bahawa mereka sepatutnya berehat saja
dan tidak perlu menyumbang ke arah pembangunan diri dan masyarakat sekeliling.
Ini
adalah anggapan yang salah. Walaupun tua, mereka sepatutnya bergiat aktif dalam
pelbagai aktiviti agar dapat menabur bakti ke arah pembangunan negara dan
bangsa.
Pada
6 Oktober setiap tahun, sambutan Hari Warga Tua peringkat kebangsaan diadakan.
Ia adalah pengiktirafan kepada golongan itu agar mereka tidak lagi dilihat
sebagai satu golongan yang membawa beban.
Tanggapan sebegini haruslah dikikis,
malahan golongan muda harus menghargai jasa mereka selama ini. Kita perlu
sentiasa beringat bahawa kita juga akan menjadi tua dan pada ketika itu, kita
juga mahu agar orang lain menghormati dan menyayangi diri kita.
Sebenarnya
banyak perkara boleh dilakukan oleh mereka ke arah pembangunan bangsa, agama
dan negara. Golongan ini boleh terus membabitkan diri dalam kegiatan
kemasyarakatan dengan menyumbang idea bernas berdasarkan pengalaman mereka.
Bagi
generasi muda, mereka masih bergantung harap kepada golongan tua dalam
memberikan nasihat dan tunjuk ajar dalam mengharungi liku kehidupan yang penuh
mencabar ini. Tanpa tunjuk ajar dan nasihat dari mereka, generasi muda akan
mudah goyah dan diperalatkan oleh anasir luar yang mempunyai niat jahat.
Jika
ini berlaku, keharmonian sebuah negara boleh tergugat. Oleh itu, golongan tua
hendaklah terus membimbing golongan muda berdasarkan pengalaman mereka agar
hala tuju hidup golongan muda ini terjamin dan lebih bermakna.
Warga
tua sebenarnya boleh menyumbang tenaga dengan melakukan kerja yang bersesuaian
dengan kemampuan mereka. Contohnya, seorang bekas guru boleh mengajar kelas
tambahan kepada pelajar di kawasan kejirannannya atau seorang profesor boleh
menulis artikel ilmiah bersesuaian dengan bidangnya. Ini agar tulisan beliau
dapat dijadikan bahan rujukan oleh masyarakat umum.
Bukan
itu saja, bekas guru agama boleh juga mengajar bacaan al-Quran kepada anak-anak
di sekitar rumahnya. Bagi yang mempunyai kemahiran, misalnya, mahir bertukang,
melukis atau menjahit, boleh menggunakan kemahiran itu untuk menambah sumber
rezeki.
Contoh
di atas hanya beberapa saranan yang boleh dijadikan panduan bagi warga emas
untuk terus memberikan sumbangan kepada negara, bangsa dan agama.
Tentunya golongan
ini lebih bijaksana dalam menentukan apa yang ingin mereka sumbangkan kepada
masyarakat sekeliling dalam menelusuri hari tua mereka.
Sumbangan
yang diberikan itu, walaupun kelihatan kecil, namun golongan ini tidak perlulah
berasa rendah diri atau merasakan usahanya sia-sia kerana semua yang besar dan
hebat itu bermula dari yang kecil.
Begitu
pun, mungkin sesetengah warga tua berpendapat bahawa masa tua adalah waktu
untuk berehat setelah sekian lama bekerja atau membesarkan anak-anak.
Namun
begitu pendapat sebegini tidak tepat kerana ia akan hanya mensia-siakan
kebolehan dan ilmu yang mereka ada. Sedangkan ilmu di dada mereka itu amat
berguna dan diperlukan dalam membantu membangunkan negara.
Lagipun, ramai yang
berpendapat bahawa jika golongan warga emas ini hanya mahu berehat, mereka akan
lebih mudah 'sakit'.
Untuk
menjamin sumbangan yang lebih berkesan, kesihatan warga tua ini perlulah
diberikan perhatian. Di samping itu, penjagaan makanan dan pengambilan makanan
tambahan digalakkan.
Pada
masa yang sama, warga emas ini perlu sentiasa bersikap terbuka, senang didekati
dan bersedia bertukar-tukar idea dengan golongan muda agar percambahan ilmu
antara mereka dan golongan muda dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.
Proses
penuaan adalah perkara semula jadi. Tidak ada sesiapa pun yang dapat lari
daripada proses ini. Jadi, elakkan diri daripada sedih atau sensitif jika orang
lain mengatakan yang anda kelihatan tua kerana semua orang akan melalui proses
penuaan itu.
No comments:
Post a Comment