Islam agama mementingkan kesan baik berkaitan apa saja yang dilakukan oleh
umatnya. Perkara ini tidak terkecuali dalam soal berkaitan dengan komunikasi. Dalam
dunia media, wartawan adalah penghubung antara sumber berita untuk disampaikan
kepada pembaca atau penonton.
Atas kebijaksanaan wartawan akan
menentukan 'bentuk' sebenar berita itu disampaikan. Dalam banyak hal, pembaca
menerima sepenuhnya apa yang ditulis oleh wartawan kerana itulah satu-satunya
sumber berita yang diterima.
Maka itu, untuk memastikan kebaikan dan mengelak kepada perkara buruk, amat
penting wartawan mengamalkan etika kewartawanan berlandaskan kepada acuan Islam
sepertimana yang diamalkan oleh Rsulullah.
Dalam sirah Rasulullah kita dapati Nabi Muhammad adalah 'wartawan' terbaik.
Apa yang dialami Rasulullah tidak berlaku kepada mana-mana wartawan. Apa yang
dimaksudkan ialah Rasulullah berkomunikasi secara langsung dengan Allah,
malaikat, bahkan dengan syaitan yang menjadi musuh manusia.
Maka itu, apa yang disampaikan oleh Rasulullah banyak yang tidak diterima
oleh mereka yang tidak beriman. Kaum kafir menolak mentah-mentah apa yang
disampaikan oleh Rasulullah yang dianggap dongeng dan tidak masuk akal.
Namun, di kalangan orang beriman, mereka menerima dengan yakin setiap apa
yang disampaikan oleh Rasulullah biarpun ia perkara yang tidak mampu untuk
difikirkan oleh akal. Jadi, tentu sekali, penerimaan sedemikian berpunca kepada nilai-nilai peribadi Rasulullah
sendiri.
Memang seperti dikatakan sebelum ini bahawa penerimaan itu disebabkan rasa
keimanan, tetapi bagaimana rasa keimanan itu timbul ketika mula-mula Rasulullah
menyampaikan seruan mentauhidkan Allah. Ternyata sekali, keupayaan Rasulullah
menyebarkan risalah tauhid adalah berdasarkan kepada nilai-nilai diri yang ada
pada baginda.
Nabi Muhammad digelar pemimpin agung sepanjang zaman dan paling sempurna
akhlaknya yang tidak ada tolak banding. Baginda diutuskan membawa rahmat ke
seluruh alam dan membebaskan manusia daripada belenggu kejahilan dan keinginan
kepada kenikmatan hidup di dunia semata-mata.
Seluruh cerdikawan, ahli agama, pemikir dan pemimpin sepanjang zaman, sama
ada beragama Islam atau kafir telah sepakat mengakui bahawa Nabi Muhammad
sebagai The Saviour of Humanity (Penyelamat Manusia Sejagat).
Lothrop Stoddard, seorang orientalis Barat dalam bukunya The New World of
Islam mencatatkan bahawa kebangkitan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad
adalah suatu perkara yang paling menakjubkan dalam sejarah manusia.
Pengiktirafan yang jujur itu hasil penelitian kajian berkaitan sumbangan
besar Nabi Muhammad dalam membentuk masyarakat sempurna dan syumul yang tidak
ada batasan geografi dan zaman. Tidak ada individu lain mampu mencapai status
seperti mana dicapai Nabi Muhammad.
Firman Allah bermaksud: “Demi sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah
itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi mereka yang sentiasa mengharapkan
(keredaan) Allah dan (balasan baik) di alam akhirat serta mengingati Allah
dengan sebanyak-banyaknya.” (Surah al-Ahzab, ayat 21).
Sesungguhnya, Nabi Muhammad memiliki peribadi yang terlalu agung. Sebab itu
baginda diberikan gelaran al-Amin oleh masyarakat Makkah, yakni lambang
kebenaran dan kesempurnaan pekerti. Baginda menjadi kebanggan seluruh
masyarakat Makkah dan dihormati pendapat dan tutur kata yang diucapkan.
Gelaran al-Amin yang melambangkan penghormatan besar itu diterima ketika
baginda berusia belia dan belum diangkat menjadi rasul. Ini bermakna sikap
mulia baginda diamalkan sejak kecil dan berterusan sepanjang hayat.
Rasulullah membawa risalah Islam yang syumul. Islam diiktiraf Allah sebagai
addin yang diredai-Nya. Firman Allah
bermaksud: “Sesungguhnya addin (yang sebenar dan diredai) di sisi Allah ialah
Islam.” (Surah Ali Imran, ayat 19).
Selaku pembawa risalah, Rasulullah selayaknya digelarkan wartawan dengan
menyampaikan kepada manusia apa yang disampaikan oleh Allah melalui perantaran
malaikat. Beberapa etika diamalkan Rasulullah ialah benar, amanah, menyampaikan
dan bijak.
Benar. Sifat itu amat penting diamalkan
sesiapa yang menjadi wartawan. Apa yang disampaikan perlu disahkan
kebenarannya. Sikap membuat laporan berdasarkan kepada andaian menyebabkan
berita tidak tepat.
Menyampaikan apa yang tidak tepat boleh disamakan seperti menipu pembaca. Betapa
buruk kesannya jika berita yang tidak tepat itu membawa kepada sesuatu kerugian
dan tragedi. Satu berita tidak benar boleh mencetuskan huru hara dalam
negara.
Sebab itu Rasulullah sentiasa mementingkan penyampaian perkara yang benar. Kaedah
untuk memastikan kebenaran sesuatu berita ialah selidik dulu sumber berita itu.
Pembaca jangan mudah menelan bulat-bulat berita atau maklumat yang disajikan
kepada mereka.
Perkara ini dijelaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman. Jika datang kepada kamu seorang fasik
membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan kebenarannya, supaya
kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini)." -
(Surah al-Hujurat, ayat 6).
Sesungguhnya, sesiapa yang melakukan perbohongan adalah nyata dirinya
tergolong mereka yang tidak beriman. Perkara ini jelas dinyatakan Allah dalam
surah an-Nahl, ayat 105 bermaksud: " Bahawa orang-orang yang suka
melakukan pembohongan adalah orang tidak beriman kepada Allah, mereka itulah
pendusta.”
Sesungguhnya dakwah Rasulullah mencapai kejayaan adalah kerana baginda
sentiasa menyampaikan perkara yang benar, biarpun ia satu perkara yang pahit
atau merugikan diri sendiri. Yang benar tetap benar dan perkara salah tetap
salah walaupun hati kita ingin mengatakan benar kepada perkara yang salah.
Amanah. Sifat seterusnya yang menjadikan Nabi
Muhammad seorang 'wartawan' yang baik ialah amanah. Sesungguhnya sifat mulia
itu sentiasa diamalkan Rasulullah dalam semua perkara dan keadaan. Maka, sikap
itu juga yang sering ditekankan oleh Rasulullah agar diamalkan oleh para
sahabat dan seluruh umat Islam.
Amat penting setiap wartawan melaksanakan etika amanah. Antara contoh
amanah yang dipikul oleh wartawan ialah mendapatkan berita yang benar mengikut
kaedah-kaedah yang ditetapkan dan kemudiannya menulis laporan berdasarkan
sumber sahih yang diperoleh itu.
Sikap wartawan memanipulasikan berita untuk kepentingan diri adalah satu
amalan tidak amanah. Sikap melaporkan berita untuk kepentingan diri sendiri
atau pihak tertentu, biarpun diketahui berita itu tidak betul, adalah satu
tanda tidak amanah pada etika dan tanggungjawab sebagai wartawan.
Sesungguhnya Rasulullah amat menekankan kepada sifat amanah. Bahkan,
Rasulullah menjelaskan bahawa sesiapa yang tidak amanah, adalah antara
tanda-tanda menjadi munafik.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Tanda-tanda seseorang munafik itu adalah tiga
perkara iaitu apabila berjanji tidak ditunaikan, apa bercakap dia berdusta dan
apabila diberi amanah dia mengkhianati.” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Rasulullah dalam menyampaikan dakwah sentiasa memegang kepada amanah. Tidak
ada perkara atau hukum diubah semata-mata untuk kepentingan baginda atau
keluarganya. Contohnya, dalam menjelaskan tentang hukuman bagi pencuri,
Rasulullah menyatakan jika perbuatan itu dilakukan oleh anaknya sendiri, maka
hukuman sama tetap dilaksanakan sepertimana hukuman kepada pesalah-pesalah
lain.
Berani Menyampaikan Kebenaran. Rasulullah tidak sekali-kali takut
untuk menyampaikan perkara yang benar biarpun diketahui perkara itu sukar
diterima oleh orang ramai. Sebenarnya keadaan inilah antara cabaran paling
besar dihadapi Rasulullah ketika mula-mula menyampaikan seruan tauhid di Kota
Makkah.
Apa yang disampaikan Rasulullah ada perkara baru bagi masyarakt kafir
Quraiys di Makkah. Tentu sekali mereka tidak dapat menerima ajaran yang
mengajak mengesakan Allah dan menolak fahaman serta amalan yang telah sebati
dalam diri mereka sejak datuk moyang lagi.
Namun, Rasulullah tidak ada pilihan melainkan menyatakan apa yang benar
sepertimana diterima dari Allah. Sehebat mana tentangan daripada kaum Quraiyis
tetap tidak mematahkan semangat Rasulullah untuk menyampaikan seruan yang
benar.
Begitulah yang mesti dicontohi oleh wartawan dalam melaksanakn tugas
menyampaikan perkara yang benar. Fikirkan hanya melalui kebenaran saja akan
menghasilkan kesan terbaik. Jangan gadaikan etika kewartawan semata-mata kerana
ingin mensensasikan sesuatu berita.
Rasulullah melarang umatnya menyampaikan berita yang menyebabkan
perselisihan antara manusia. Malah, kita diharuskan agar menyembunyikan perkara
itu daripada pengetahuan orang lain. Juteru sesiapa yang menyebabkan sesuatu
berita yang memang diketahuinya akan mencetuskan perbelahan, jelas sekali apa
yang dilakukan itu amat ditegah oleh Islam.
Mencegah perselisihan amat dituntut. Maka itu, tidak dianggap perbuatan
dusta atau menipu (dalam ertikata dosa) jika kita menyatakan perkara tidak
benar semata-mata untuk mengelak permusuhan.
Sabda Rasulullah bermaksud: “Tidaklah termasuk pendusta, orang yang
berusaha mendamaikan perselisihan antara manusia, dan menghasilkan yang baik.”
- (Hadis riwayat Muslim dan Bukhari).
Dalam hadis diriwayatkan Muslim dari Ummu Kaltsum menjelaskan beliau
(Kaltsum) belum pernah mendengar adanya keringanan (diharuskan) dalam hal
pendustaan biarpun sedikitpun, kecuali dalam tiga perkara iaitu dalam hal
peperangan, mewujudkan perdamaian dalam masyarakat dan hubungan rumahtangga
untuk mengekalkan kebahagiaan.
Maka, amat jauh bertentang dengan amalan Rasulullah jika wartawan masih
melaporkan sesuatu berita yang memang diketahui olehnya bahawa berita itu akan
mencetuskan perbalahan. Malah amat buruk sikap wartawan yang sengaja menyiarkan
sesuatu berita semata-mata untuk mencetuskan perbalahan dan perselisihan antara
manusia.
Bijak. Sifat bijak atau bijaksakna amat
dituntut diamalkan dalam semua perkara, lebih-lebih lagi dalam bidang
kewartawanan. Etika ini amat dititikberatkan oleh Rasulullah ketika
menyampaikan dakwah.
Rasulullah menyuruh setiap individu menyampaikan apa-apa diketahui biarpun
hanya sedikit. Apa yang penting ialah apa yang
disampaikan itu benar dan tepat. Setiap individu mempunyai tahap penerimaan dan
kefahaman berbeza-beza. Ada individu yang memerlukan masa yang lama untuk
memahami sesuatu perkara. Maka sebab itu,
wartawan perlu bijak 'membentu' berita atau rencana yang ditulis.
Sabda Rasulullah bermaksud:
“Berbicaralah kepada manusia menurut kadar akal (kecerdasan) mereka
masing-masing.” (Hadis riwayat Muslim).
Ketika menyampaikan sesuatu berita,
Rasulullah akan memastikan apa yang disampaikan itu dapat difahami para
sahabat. Sebab itu, kerap Rasulullah terlebih dahulu bertanya 'tahukah kamu',
'mahukah kamu' dan 'inginkah kamu aku khabarkan'. Pertanyaan itu sebenarnya
antara lain Rasulullah ingin menarik perhatian agar para sahabat bersedia untuk
menerima sesuatu berita.
Perkara ini juga perlu diamalkan
para wartawan. Sesuatu berita perlu diadakan 'pembukaan' agar menarik perhatian
pembaca sebelum meneruskan pembacaan. Jika sesuatu perkara penting, tetapi
difikirkan pembaca sukar untuk memahaminya, maka berita atau rencana yang
ditulis hendaklah dilakukan secara berperingkat-peringkat.
Wartawan tidak sepatutnya menulis
ikut selera mereka saja. Fikirkan juga tahap penerimaan pembaca. Sesuatu yang
tidak difahami pembaca akan menimbulkan fitnah dan kekeliruan.
Sikap wartawan yang suka membuat berita yang mengelirukan perlu dihentikan. Jangan cari populariti melalu kaedah yang boleh menyebebabkan dunia kewartawan disangsi dan dimomok-momok oleh pembaca. Kita kena sedar, pembaca sekarang bijak menilai sesuatu berita. Jika silap ditulis, maruah dan kredibaliti wartawan akan dipersoalkan.
Sikap wartawan yang suka membuat berita yang mengelirukan perlu dihentikan. Jangan cari populariti melalu kaedah yang boleh menyebebabkan dunia kewartawan disangsi dan dimomok-momok oleh pembaca. Kita kena sedar, pembaca sekarang bijak menilai sesuatu berita. Jika silap ditulis, maruah dan kredibaliti wartawan akan dipersoalkan.
No comments:
Post a Comment