Emas boleh dijual beli, atau ditukar
ganti. Sedangkan masa yang berlalu tidak boleh diganti kembali. Sebab itu orang
yang menghargai kehidupannya sentiasa mementingkan masa.
Imam Hassan al-Bashri pernah
berkata: “Tidaklah sehari itu berlalu kecuali setiap terbit matahari ada
seruan: “Hai anak cucu Adam, aku adalah ciptaan yang baru, aku menjadi saksi
atas perbuatanmu, maka berbekallah dariku kerana sesungguhnya aku, jika sudah
berlalu, tidak akan kembali sampai datang hari kiamat nanti.”
Manakala itu, pepatah Arab pula ada
menyebut: “Masa itu seperti pedang, jika kamu tidak menggunaknya untuk memotong,
nescaya ia akan memotong kamu.” Pepatah itu memberi peringatan agar setiap
orang menguruskan masa dengan bijak bagi
mengelak keadaan yang tidak diingini berlaku.
Sebenarnya sejauh manakah kita
menghargai masa. Adakah kita ada merasai kerugian, menyesal, atau sedih jika
membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan perkara berfaedah. Berapa kekerapkah
kita muhasabah diri menoleh kembali masa lepas untuk membandingkan adakah
kebaikan lebih banyak dilakukan atau sebaliknya.
Berapa ramaikah antara kita yang
merancang apa yang ingin dilakukan pada hari esok, selain tugas rutin seharian.
Adakah kita berkobar-kobar untuk melakukan sesuatu yang baik agar tidak
membazirkan masa.
Islam amat menitik beratkan soal
pengurusan masa kerana kehidupan ini perlu dipenuhi dengan perkara kebaikan
bagi bekalan menghadapi kehidupan di akhirat. Sesiapa yang memanfaatkan masa,
bererti dia juga mementingkan kualiti hidup yang berasaskan kepada takwa dan
keimanan.
Orang beriman tidak mensia-siakan
amanah masa hidup di dunia ini. Allah mencipta manusia bukan untuk menikmati
hidup di dunia ini sia-sia. Sebaliknya, hidup ini mempunyai tanggungjawab untuk
menyembah dan beribadat kepada Allah.
Kehidupan di dunia ini diumpama
kelasi kapal yang singgah sementara di pelabuhan untuk mencari bekal sebelum
meneruskan pelayaran yang jauh dan tidak mungkin ada lagi peluang untuk singgah
di pelabuhan lain.
Kapten kapal tidak menjelaskan
berapa lama kapal berlabuh dan bilakah akan berlayar kembali. Kelasi kapal
hanya akan diberitahu melalui semboyan apabila kapal akan belayar kembali, dan
tidak boleh ditangguh atau dipercepatkan walau seminit. Segala-galanya berlalu
dengan pantas, dan kelasi kapal tidak ada pilihan melainkan meneruskan
pelayaran biarpun bekalan belum mencukupi.
Salah satu sifat biasa diamalkan
ialah bertangguh atau ingin melakukan sesuatu pada masa akan datang, sedangkan
sepatutnya perkara dapat atau perlu dilakukan segera. Sifat bertangguh
adalah satu sifat negatif yang perlu
dijauhi daripada menjadi amalan dalam kehidupan seharian.
Sifat bertangguh mendatangkan banyak
kerugian dan keburukan kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat, terutama
dalam perkara penting. Peluang tidak datang berulang-ulang.
Kepentingan masa amat jelas. Kehidupan
ini adalah masa yang ada. Sesiapa tidak menggunakan masa dengan baik bermakna
tidak menyayangi kehidupan. Allah menyebut dalam al-Quran berkaitan masa
tentang golongan manusia yang berada dalam kerugian.
Dalam surah al-Ashr dimulai dengan
perkataan ‘demi masa’ yang menjadi satu bentuk peringatan bagi seluruh umat
Islam tentang kepentingan masa. Firman
Allah bermaksud: “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian,
kecuali orang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan
kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah al-Ashr, ayat 1 - 3).
Jelas sekali, individu yang
beruntung terdiri mereka yang melakukan tanggungjawab sebagaimana diperintahkan
Allah seperti mana dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: “Tidak Aku
jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadat kepada-Ku”
(Surah adz-Dzariyat, ayat 56).
Tidak cukup dengan itu, individu
yang beruntung mesti juga sentiasa berpesan-pesan agar dirinya dan orang lain
sentiasa teguh hati dan bersabar dalam hidup. Setiap individu mesti menjalankan
tugas menyeru kepada kebaikan dan mencegah melakukan keburukan.
Justeru, setiap individu Muslim
perlu sentiasa memperteguhkan keimanan sepanjang masa dan melakukan tugas
berdakwah dengan sebar mengenai kebenaran dan kebaikan. Masa hidup yang
sebenarnya amat singkat ini semakin hari menghampiri ke penghujung
kehidupan.
Walaupun kiraan umur semakin
bertambah, tetapi hakikatnya jumlah umur yang masih tinggil semakin
berkurangan. Setiap saat berlalu, bermakna sesaat juga semakin hampir kepada
kematian. Sesungguhnya, ketibaan saat kematian tidak diketahui oleh sesiapa
pun, kecuali Allah.
Sebab itu peluang hidup yang masih
ada ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya dan disegerakan melakukan ibadat dan
perkara kebaikan sebagai bakalan hidup di akhirat. Hidup di dunia adalah ladang
untuk mengumpul bekalan hidup di akhirat.
Kehidupan ini hanya bererti jika setiap hari kita berusaha melakukan
kebaikan dalam hidup. Ketika peluang masih terbuka, jangan bertangguh-tangguh
lagi untuk melakukan apa yang sepatutnya dilakukan.
Untuk melancarkan aktiviti yang dilakukan seharian atau satu tempoh masa
akan datang, perancangan yang teliti harus dibuat. Perancangan itu mungkin
untuk tempoh masa sehari, seminggu, sebulan atau setahun. Penjadualan aktiviti
amat penting untuk mengelak pertindihan, tidak cukup waktu, pembaziran masa,
tidak sistematik dan tertangguh.
Sebab itu amat penting sentiasa menepati masa. Banyak urusan tidak dapat
dilakukan dengan sempurna disebabkan tidak mengikut masa yang ditetapkan. Hal
ini sekaligus menyebabkan kerugian yang bukan sahaja ditanggung oleh diri
sendiri, bahkan pihak lain yang berkaitan dengannya.
Kita kerap berdepan dengan situasi lewat setengah jam. Dalam masyarakat
kita sudah menjadi satu budaya tidak menepati masa. Biarpun mengetahui masa
sebenarnya, biasanya disengajakan untuk lewat kira-kira setengah jam, kononnya
semua orang sudah biasa mengamalkan begitu. Dalam hal ini, orang yang menepati
masa akan menjadi mangsa.
Amalan menangguhkan kerja akan menyebabkan sentiasa tertangguh sehingga
berkali-kali dan berkemungkinan tidak akan dilakukan langsung. Justeru itu,
teruslah lakukan apa yang baik dan jauhkan perkara mendatangkan kerugian.
Sikap istiqamah dalam melakukan pekerjaan perlu dilakukan bagi memastikan
dapat dilakukan dengan sempurna. Amalan yang baik perlu diteruskan, serta
diusahakan peningkatan mutu dan produktivitinya.
Allah menyukai individu yang istiqamah dalam melakukan ibadat dan tugas
seharian. Mereka sentiasa menghargai peluang dan tidak mempersia-siakan masa. Individu
yang istiqamah tidak mudah berpuas hati atau berputus asa dalam usaha mencari
keredaan Allah.
Setiap kali bertangguh bermakna mencuri masa yang sepatutnya digunakan
untuk tujuan lain. Apabila kita menangguh kerja yang sepatutnya dilakukan hari
ini, pada masa akan datang kerja itu semakin banyak dan lebih banyak lagi yang
terpaksa ditangguhkan disebabkan tidak mempunyai masa yang cukup.
Bertangguh daripada melakukan
sesuatu bermakna tidak bersungguh-sungguh, tidak menghargai, tidak penting,
tidak ikhlas atau tidak terfikirkan akannya. Sikap sentiasa bertangguh akan
menyebabkan banyak peluang terlepas. Masa telah berlalu tidak dapat digantikan
lagi.
Kita sepatutnya menjadikan diri
seperti pengembara yang ingin cepat sampai ke destinasi. Untuk itu, kita perlu
mula bergerak menuju ke destinasi tersebut dengan secepat mungkin. Jika kita
bertangguh waktu bertolak, maka lewatlah waktu sampainya. Banyak peluang baik
terlepas kerana terlewat sampai di tempat yang dituju.
Iktibar ini dapat difahami daripada
sabda Rasulullah kepada Ibnu Omar bermaksud: “Rasulullah memegang bahuku sambil
berkata: “Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang pengembara. Jika kamu
berada pada waktu petang, jangan tunggu sampai pagi. Jika kamu pada waktu pagi,
jangan tunggu sampai petang. Gunakan peluang masa sihat sebelum tiba sakit dan
gunakan masa hidup sebelum tiba masa mati.” (Hadis riwayat Bukhari).
Kita semua sedar tugas manusia di
dunia ini ialah mencari sebanyak bekalan untuk kehidupan di akhirat. Peluang
masa masih hidup ini perlu dipergunakan sepenuhnya sebelum tiba masa ajal.
No comments:
Post a Comment