Tuesday, 9 October 2018

PANTAI SABAK TEMPAT MULA PERANG DUNIA KEDUA

Malaysia yang ketika itu dikenali Tanah Melayu terlibat secara langsung dalam kancah Perang Dunia Kedua apabila tentera Jepun telah menyerang dan menawan Tanah Melayu.

Tentera Jepun mendarat di Patani dan Singgora (Songkala) di Selatan Thailand, sebelum mara menyerang ke utara Tanah Melayu meliputi Perlis dan Kedah, seterusnya bergerak ke selatan.

Manakala itu, negeri Kelantan tercatat dalam sejarah sebagai tempat pertama meletusnya Perang Dunia Kedua di negara kita, bahkan juga di dunia. 
 
Pertempuran di Kelantan adalah kira-kira 95 minit lebih awal daripada pertempuran di pengkalan angkatan laut Amerika Syarikat di Pasifik, iaitu Pengkalan Pearl Harbour di Kepulauan Hawai. 

Kenyataan menyatakan Pearl Harbour terlebih dahulu dibom berbanding Kota Bharu ada berdasarkan waktu tempatan di sana, iaitu 8.00 pagi pada 7 Disember 1941. Sedangkan sebenarnya jika waktu itu “disamakan”, peperangan yang meletus di Kota Bharu adalah lebih awal.   

Pantai Pak Amat atau kini lebih dikenali Pantai Sabak dan sekitar kawasan Pulau Panjang merupakan tempat pertama pendaratan tentera Jepun di Tanah Melayu dan menjadi medan pertempuran yang amat dahsyat.

Tentera Jepun mula menyerang dan mendarat di Pantai Sabak pada 8 Disember 1941, kira-kira jam pukul 1.15 pagi. Seramai 5,300 orang tentera Jepun yang dikenali Detasemen Takumi yang dipimpin Mejer Jeneral Takumi terlibat dalam serangan tersebut. 

Pendaratan tentera Jepun telah ditentang hebat oleh tentera British berketurunan Punjab yang berada dalam kubu kebal di tepi pantai. Tentera Jepun terpaksa membina kubu sementara dengan menggali pasir pantai menggunakan tangan hingga paras bahu. Pergerakan agak terbatas kerana waktu malam yang gelap.

Jadi, tentera Jepun terpaksa menghentikan sementara pergerakan menuju ke darat, menunggu waktu siang. Selain halangan tembakan, serangan tentera Jepun berhadapan rintangan kawat berduri dan periuk api yang dipasang tentera British. Banyak tentera Jepun terkorban akibat letupan periuk api di sepanjang kawasan pantai.    

Pertempuran di tepi pantai berlangsung sepanjang hari mengakibatkan seramai 320 orang tentera Jepun terbunuh dan 538 orang lagi mengalami kecederaan. Bagaimanapun, tentera Jepun memperoleh kejayaan besar mendarat di situ.

Pendaratan di Pulau Panjang dan Pantai Pak Amat adalah bertujuan memudahkan menguasai Lapangan Terbang Pengkalan Chepa yang menjadi pengkalan pertahanan udara utama tentera British. Banyak pesawat tempur British ditempatkan di Lapangan Terbang Pengkalan Chepa.  

Setelah mendarat, tentera Jepun terus mara dan menguasai Lapangan Terbang Pengkalan Chepa yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Pantai Sabak pada pukul 8.00 malam, iaitu kira-kira tujuh jam 45 minit selepas mendarat. 

Bandar Kota Bharu pula berjaya ditawan pada pukul 2.00 petang keesokan harinya. Sebelum berjaya menawan Kota Bharu, tentera Jepun terpaksa berdepan dengan tentangan hebat tentera British yang mempertahanan di sepanjang Jalan Pengkalan Chepa, Jalan Tok Hakim, Jalan Temenggong dan Jalan Padang Garong.

Sejarah pendaratan tentera Jepun Pantai Sabak sudah lama berlalu. Banyak golongan muda sebenarnya tidak mengetahui kepentingan Pantai Sabak kepada sejarah negara. 
 
Kalaupun ada yang membaca sejarah pendaratan tentera Jepun, buku-buku sejarah lebih banyak menyebut nama Pantai Sabak sebagai Kuala Pak Amat atau Pantai Pak Amat.   

Tambahan, sekarang ini tiada sebarang kesan atau binaan yang dibina untuk menandakan Pantai Sabak sebagai tempat bersejarah. Pantai Sabak juga pernah dikenali Pantai Dasar pada tahun 1960an hingga 1990an terkenal sebagai pantai peranginan yang seganding dengan Pantai Cahaya Bulan (dahulunya Pantai Cinta Berahi), Pantai Irama dan Pantai Bisikan Bayu.  

Episod malang Pantai Sabak mengalami hakisan teruk bermula pada awal 1990. Saban tahun pada musim tengkujuh, Pantai Sabak mengalami hakisan turuk  Gigi pantai sekarang ini dikatakan terletak kira-kira 1 kilometer dari gigi pantai pada tahun 1941.

Selain struktur tepi pantai, laluan aliran sungai juga telah banyak berubah.  Beberapa muara dan kawasan paya yang menjadi tempat pendaratan tentera Jepun telah lenyap sepenuhnya.   

Kubu kebal yang pernah digunakan oleh tentera British kini sudah banyak yang tenggelam dalam laut akibat hakisan pantai. Ada beberapa buah kubu kebal yang terletak jauh di daratan pula terpaksa dimusnahkan disebabkan tapaknya digunakan untuk pembangunan.

Sekarang ini terdapat beberapa buah kubu kebal yang masih terdapat di sekitar Pengkalan Chepa, Kota Bharu dan Tumpat pula terbiar tanpa sebarang pengenalan. Sekali pandang kelihatan tidak ubah seperti tembok simen usang. 

Sebuah Taman Peringatan Perang Dunia Kedua terletak di Pengkalan Chepa yang dibina sekitar tahun 1990, kini hanya tinggal sebuah menara jam, sedangkan kawasan sekitarnya telah dibangunkan menempatkan pasar raya, rumah kadai dan pejabat.

Manakala, kapal-kapal perang Jepun yang tenggelam, kini terletak kira-kira tiga kilometer dari pantai tidak diperdulikan oleh sesiapa. Hanya nelayan pesisir pantai kadangkala menjadikan lokasi itu untuk menjala dan memancing. Kapal karam itu menjadi tukun tiruan yang menarik banyak ikan ke kawasan itu.

Kawasan Pantai Sabak wajar dijadikan lokasi memperingati Perang Dunia Kedua seperti yang terdapat di Jepun dan beberapa buah negara lain yang terlibat secara langsung dalam peperangan tersebut. 
 
Rata-rata pengunjung ke Pantai Sabak tidak mengetahui bahawa kawasan tersebut adalah tempat pertama meletusnya Perang Dunia Kedua.

Di Jepun terdapat satu medan khas yang turut mengandungi sebuah bangunan yang mengalami kerosakan teruk akibat ledakan bom atom, dijadikan Memorial Perang Dunia Kedua. Saban tahun tedapat acara khas mengingatkan peristiwa tersebut yang bertujuan mengingatkan seluruh masyarakat dunia tentang kesan buruk peperangan.

Di Pantai Sabak, sambutan mengingati sejarah pendaratan tentera Jepun yang juga menandakan bermulanya meletus Perang Dunia Kedua pernah dilakukan pada 1991, iaitu memperingati 50 tahun peristiwa tersebut. Kira-kira 50 orang veteren Perang Dunia Kedua dari Jepun, Australia dan British turut serta dalam majlis peringatan itu.

Beberapa tahun berikut, acara yang sama diteruskan dengan kerjasama pihak tentera sebagai sebahagian daripada memperingati peristiwa itu selain untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran di kalangan pegawai tentera. Bagaimana, acara seumpama itu kini tidak diteruskan lagi.

Kerajaan Kelantan melalui Perbadanan Muzium Negeri Kelantan telah menubuhkan sebuah Memorial Peperangan Dunia Kedua, kini bertempat di Bangunan Bank Kerapu, berhampiran Masjid Muhammadi. Bangunan Bank Kerapu pernah digunakan oleh tentera Jepun sebagai pejabat Polis Rahsia Jepun (Kempei Tai). 

Di memorial itu terdapat pelbagai maklumat berkaitan Perang Dunia Kedua di Kelantan dan seluruh Tanah Melayu yang dipamerkan berupa gambar, rencana, peralatan, persenjataan dan sebagainya.  

Gambar: Pantai Sabak yang kini dibuat benteng batu untuk mengelak hakisan.

No comments:

Post a Comment