Di Kelantan, terdapat satu keturunan yang dinamakan
Kerabat Raja Jembal. Mengikut sejarah, Kerabat Raja Jembal merupakan keturunan raja
pemerintah Kelantan yang bermula ada abad ke 17.
Kerajaan Jembal asalnya diasaskan
oleh Raja Besar yang dikatakan dari keturunan Raja Bersiung yang memerintah
negeri Kedah dalam abad ke-14. Baginda Raja Bersiung dihalau oleh adinda baginda
yang berpangkat Raja Muda. Baginda telah melarikan diri ke Kelantan.
Mengikut ringkasan "Cetera
Kelantan" yang ditulis oleh Dato' Nik Mahmud Nik Ismail (Dato' Paduka
Raja), Raja Besar dan Raja Bersiung adalah orang yang sama.
Kenyataan ini agak kabur dan
bercanggah dengan fakta sejarah kerana Raja Bersiung memerintah Kedah pada abad
ke-14, sedangkan pembukaan Jembal oleh Raja Besar ialah pada awal abad ke-17
(tahun 1600-an).
Raja Besar dan pengikut-pengikut
baginda mencari satu tempat yang sesuai untuk dijadikan negeri. Angkatan
baginda telah menemui satu kawasan tanah yang subur yang terletak di tepi
Sungai Babong dan Pulau Melaka.
Di situ baginda mengarahkan
pengikut-pengikutnya supaya mendirikan sebuah kota. Di dalam kawasan itu
terdapat sebatang pokok yang sangat besar iaitu pokok jambu jembal, lalu
baginda menamakan tempat itu Jembal.
Baginda Raja Besar tiba di Jembal
bersama beberapa orang pengikutnya serta dua orang kanak-kanak iaitu seorang
lelaki dan seorang perempuan. Kedua-duanya dipercayai cucu baginda. Yang lelaki
bernama Raja Sakti dan yang perempuan bernama Puteri Mani Kemeyan.
Setelah kedua-duanya meningkat
dewasa lalu mereka dikahwinkan. Pada tahun 1638 M Raja Besar telah menabalkan
Raja Sakti sebagai raja di Jembal dan memerintah di bahagian utara dan timur
Kelantan. Jembal dijadikan pusat pemerintahannya.
Tidak lama selepas pertabalan Raja
Sakti, Raja Besar pun mangkat. Setengah cerita mengatakan Raja Besar ghaib
menghilangkan diri, kerana itulah tidak terdapat makam baginda di kawasan
Jembal itu.
Raja Sakti dikurniakan tujuh orang
putera-puteri, iaitu Raja Adiluddin (yang lebih dikenali dengan nama Raja
Loyar), Raja Bahar (Raja Udang), Raja Omar (Raja Ekok), Raja Sungai, Puteri
Sayu Bari, Puteri Unang Melor (nama timang-timangannya Nang Rogayah) dan Puteri
Cempaka Bongsu.
Mengikut buku Abdullah Nakula, Raja
Sakti terkenal dengan panggilan Raja Vijaya Indera atau Long Betong. Puteri
baginda iaitu Puteri Unang Melor telah berkahwin dengan Raja Terengganu iaitu
Sultan Zainal Abidin 1.
Sebagai mengiktiraf tempat yang pernah
dijadikan lokasi pemerintahan Kelantan, satu tempat kini dikenali Kota Jembal yang
dahulunya dikenali Kedai Lalat. Di Kota Jembal terdapat pasar yang dikenali Pasar
Kota Jembal yang dibina seperti 'kota'.
No comments:
Post a Comment