Thursday, 21 February 2019

GALAK SERTAI BIDANG PERTANIAN


Penghasilan hasil tanaman dan ternakan untuk memenuhi keperluan asas makanan rakyat amat perlu bagi menghadapi sebarang bencana kekurangan bekalan makanan.

Penghasilan bahan makanan yang mencukupi dalam negara adalah sebahagian daripada keperluan dalam aspek keselamatan negara. 

Diriwayatkan Rasulullah sentiasa memberi galakan agar penduduk Madinah lebih giat mengusahakan bidang pertanian bagi memastikan sumber makanan mencukupi selalu.

Baginda sering melawat kawasan kebun yang ditumbuhi dengan pelbagai jenis tumbuhan bagi menaikkan semangat petani agar terus berusaha gigih.

Baginda menjelaskan pahala bagi petani bukan sahaja apabila hasil tanaman dimakan oleh manusia, bahkan jika dimakan oleh burung dan haiwan lain dianggap sebagai sedekah. 

Usaha bercucuk tanam amat utama dan perlu diteruskan sampai bila-bila. Malah usah tersebut tidak terhenti biarpun kiamat sudah hampir.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesungguhpun hari kiamat telah hampir, tetapi di tangan salah seorang daripada kamu masih ada biji benih kurma, maka hendaklah dia segera menanamnya.” (Hadis riwayat Ahmad dan Bukhari).

Seorang telah lanjut usia dan merasakan ajalnya semakin hampir pernah dinasihatkan oleh Khalifah Umar agar terus gigih melakukan usaha bercucuk tanam selagi dirinya terdaya.

Orang tua yang pada mulanya menolak saranan Umar, telah melakukannya setelah diberitahu pahala dan kebaikan diperoleh melalui kerja-kerja pertanian, biarpun dia telah meninggal dunia.

Meninggalkan pokok-pokok yang terus mengeluarkan hasil yang diniatkan sebagai satu sedekah, maka pahalanya seperti satu sedekah jariah. Sepohon pokok boleh mengeluarkan hasil biarpun usianya telah mencapai puluhan tahun.

Oleh itu, diharapkan lebih ramai penduduk negara kita menceburi bidang pertanian. Melakukan sesuatu dengan niat kebaikan dan kerana Allah, mereka itulah beroleh kejayaan di dunia dan akhirat.

Rezeki tidak datang bergolek melainkan diusahakan. Taburlah bijih benih dan dijaga dengan sempurna, maka kemudian itu berserahlah kepada Allah menumbuhkan rezeki untuk hamba-Nya yang sentiasa berusaha. 

No comments:

Post a Comment