Pengikut Mazahab Syafie seperti yang diamalkan oleh penganut
Islam di Malaysia meletakkan hukum tidak boleh memelihara anjing. Anjing
dikategori sebagai najis berat. Jika tersentuh dengan bahagian badan anjing,
kena cuci tujuh kali, termasuk menggunakan air tanah.
Jadi, isu anjing amat sensitif di kalangan penganut Islam di
Malaysia, selain haiwan menduduki carta pertama iaitu babi. Jika ada orang
Islam memelihara anjing, pasti mendapat respon warganet.
Biarpun haram memelihara dan menyentuh anjing, tidak pula
bermakna orang Islam memusuhi anjing. Orang Islam ditegah mendera atau
menganiaya anjing. Hal itu turut dipegang oleh pengikut Mazahab Syafie di
Malaysia.
Malah, umat Islam digalak membantu anjing, mahupun haiwan
lain yang dalam 'kesusahan'.
Dari Abu Hurairah ra dari Nabi saw bersabda: “Seorang wanita
pelacur melihat seekor anjing yang mengelilingi perigi pada hari yang panas
terik. Anjing itu menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Lalu wanita itu menimba
air dari perigi dengan kasutnya, maka dia diampuni.” (Hadis riwayat Muslim no
2245).
Mengambil inspirasi kisah tersebut, mungkin telah mendorong
dua orang kanak-kanak menyelamatkan dua ekor anak anjing yang jatuh di dalam
longkang dan membawa ke rumah.
Ibu bapa tidak membantah dan jauh sama sekali melatah
memarahi perbuatan anak mereka itu. Sebalik, kedua-dua anak anjing itu dijaga
dengan baik sebelum ingin diserahkan kepada pihak yang dapat memelihara anjing
tersebut.
Keluarga itu sanggup menerima sindiran dan cemuhan dari
jiran-jiran yang menganggap perbuatan menyelamatkan anak anjing itu sebagai
tidak wajar dan menyalahi hukum Islam.
Semoga orang Islam di Malaysia lebih memahami hukum berkaitan
dengan anjing, walaupun masih belum boleh menerima keharusan memelihara anjing.
No comments:
Post a Comment