Monday, 10 June 2019

AMALAN BUDI BAHASA MELALUI PERTUTURAN


Bangsa Melayu mementingkan kehalusan budi yang diungkapkan melalui pertuturan. Salah satu bahasa pertuturan yang melambangkan budi bahasa dalam bangsa Melayu ialah kata ganti diri kedua bagi menggantikan nama orang yang dilawan bercakap.

Kata ganti diri kedua digunakan berbeza mengikut taraf dan penghormatan yang ingin diberikan kepada orang yang dilawan bercakap.

Perkataan tuanku, awak, anda, kamu, tuan, puan, engkau, hang, ‘mengikut pangkat’ dan sebagainya melambangkan bahasa Melayu mementingkan penggunaan bahasa yang ‘tepat’ kepada orang yang berbeza taraf dan suasana ketika ucapan itu digunakan.

Untuk bercakap dengan seorang berpangkat menteri besar, menteri, dan individu yang ingin dihormati tentulah tidak sesuai digunakan perkataan diri awak. Panggilan paling sesuai ialah mengikut pangkat atau gelarannya seperti Yang Amat Berhormat Datuk. 

Bagaimanapun dalam situasi atau dialek tertentu maksud sesuatu perkataan mungkin berlainan. Ia bergantung kepada maksud sebenar penuturnya. 

Sebenarnya penggunaan bahasa berbudi ini lebih dipengaruhi perasaan atau tanggapan penuturnya terhadap individu yang ingin diucapkan.

Biarpun kedudukan individu itu tinggi dan berharta, tetapi sekiranya sikapnya tidak menunjukkan tarafnya, maka orang lain juga tidak akan menghormatinya dengan panggilan yang baik.

Perkara paling asas ialah apakah jenis bahasa yang digunakan sendiri oleh orang itu. Sekiranya orang itu sendiri lebih suka menggunakan bahasa kasar dan biadap, maka orang lain juga akan menggunakan perkataan itu kepadanya.

Sepertimana ibu bapa mendidik anak berbudi bahasa, maka ibu bapa terlebih dahulu perlu menunjukkan sikap tersebut. Ibu bapa yang suka mencarut ketika bercakap dengan anak-anak atau mengatakan mencarut itu dibolehkan, sudah pasti akan menpengaruhi anak-anak menggunakan perkataan mencarut.

Sesungguhnya perkataan mencarut pada bila-bila masa sekalipun tidak boleh digunakan. Sesiapa menggunakan perkataan mencarut melambangkan kerendahan budi bahasanya.

Manakala sesiapa yang suka kepada perkataan mencarut atau mengatakan mencarut itu harus diucapkan akan mencerminkan kecetekan akal seseorang.

Mencarut dan mencaci merupakan perbuatan keji yang tidak melambangkan sikap seorang muslim. Jika seseorang yang mengaku beriman dan merasakan darjat keimanannya lebih tinggi daripada orang lain, tetapi selalu mencarut dan mencaci, maka sebenarlah itulah hanya sangkaan kosong semata-mata. 

Sebuah hadis diriwayatkan oleh Ahmad bermaksud: “Sesungguhnya kekejian dan berbuat kekejian, tidak sedikitpun daripada Islam. Dan sesungguhnya manusia yang terbaik Islamnya ialah mereka yang baik akhlaknya.”

No comments:

Post a Comment