Perasaan malu perlu disuburkan bukan setakat sesama manusia. Malah lebih penting
perasaan malu itu ditujukan kepada Allah SWT. Muslim sejati tidak akan
melakukan sebarang perbuatan yang ditegah, sama ada secara terang atau
sembunyi.
Orang yang beriman yakin setiap apa yang dilakukan olehnya adalah dalam
pengetahuan Allah SWT dan tidak dapat disembunyikan daripada-Nya. Sebab itu
sama secara terang maupun sembunyi, dia tidak akan melakukan apa-apa perbuatan
yang memalukan.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Malu itu datangnya daripada keimanan, dan
iman itu membawa ke syurga. Dan sebaliknya adalah membawa kepada neraka.”
(Hadis riwayat Bukhari).
Perasaan malu mempunyai kaitan secara langsung dengan
ketakwaan. Muslim yang patuh kepada larangan Allah SWT
memperlihatkan tahap ketakwaan yang tinggi. Dia malu melakukan perbuatan dosa
sebagai mematuhi larangan Allah SWT.
Marilah kita semua menghiasi diri dengan perasaan malu sebagai lambang
kepada keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Manfaat daripada sifat malu
diperoleh ketika hidup di dunia dan akhirat.
Di dunia ini orang yang bersifat malu tidak akan ditimpa kehinaan
disebabkan dirinya sentiasa menjauhi daripada pebuatan yang menyebabkan
dipandang hina.
Sedangkan di akhirat nanti pula dirinya mendapat pembalasan sebaik-baiknya
daripada Allah Yang Maha Pembalas dan Maha Adil.
Firman Allah SWT dalam surah an-Najm ayat 39 - 41 bermaksud: “Dan bahawa
sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang
diusahakan. Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan (kepadanya
pada hari kiamat kelak). Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan
balasan yang amat sempurna.”
No comments:
Post a Comment