Wednesday, 28 June 2017

PINTU GERBANG DATARAN CHENG HO

Jalan Kebun Sultan kini dikenali Jalan Haji Cheng Ho. Nama Cheng Ho diambil dari nama seorang pelayar terkenal China. Cheng Ho, adalah seorang pelaut dan penjelajah China terkenal yang melakukan pelayaran jelajah samudra antara tahun 1405 hingga 1433.  

Di Jalan Haji Cheng Ho ini didirikan senibina Cina yang dikenali Pintu Gerbang Dataran Cheng Ho.  Pintu Gerbang ini menjadi mercu tanda baru di Bandar Kota Bharu.

Pintu gerbang ini merentang jalan Haji Cheng Ho dengan bumbungnya melengkung dan atap genting warna hijau, manakala tiang pula berwarna merah.

Tertera perkataan Dataran Cheng Ho dalam tulisan jawi, rumi dan Cina. Di tiang pintu gerbang Dataran Cheng Ho ditulis simpulan bahasa dalam bahasa Cina. 

Pintu gerbang senibina Cina itu menggambarkan keunikan Kelantan biar pun penduduk majoriti Islam, namun tamadun Cina juga diberi perhatian.

Ini menggambarkan sikap keterbukaan rakyat yang menerima senibina dan budaya Cina dalam masyarakat berbilang kaum.

Cadangan awal membina pintu gerbang senibina Cina pernah diutarakan oleh rombongan masyarakat Tionghua yang melawat Kelantan.

Jalan Haji Cheng Ho seakan-akan Cina Town di negeri-negeri lain, di mana majoriti peniaganya kaum Cina. Namun orang Melayu ramai berniaga di lokasi tersebut pada sebelah malam.


No comments:

Post a Comment