Monday 26 June 2017

Istiqamah terus bertaubat

Bila sebut tentang isu istiqamah, hakikatnya ramai yang salah faham. Apa itu istiqamah? Bagaimana nak istiqamah. 

Adakah istiqamah bermakna bila kita taubat, kita dah tak buat dosa kembali?  Jika kita buat dosa walaupun dah bertaubat, adakah kita dikira tidak istiqamah?

Sekiranya itu maksud istiqamah, nescaya ia suatu yang mustahil. Kerana, semua manusia imannya turun dan naik. Kita tak mungkin terlepas dari dosa.

Semua orang tak pernah maksum melainkan nabi. Kita pasti akan melakukan dosa sama ada kecil atau besar, sengaja atau tak sengaja. Kerana kita manusia yang cukup lemah.

Apakah itu istiqamah dalam perubahan?

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Istiqamahlah kamu walaupun kamu takkan mampu…”
(Hadis riwayat Ahmad).

Pelik bukan? Nabi suruh kita istiqamah, tapi Nabi kata kita takkan mampu. Lalu, bagaimana nak istiqamah dalam keadaan kita ni takkan mampu?

Ulama mentafsirkan hadis ini dengan sepotong ayat Al-Quran dalam surah Fussilat ayat ke-6 yang bermaksud: “Maka hendaklah kamu beristiqamah di atas jalan yang lurus, serta pohonloh ampun kepadaNya..”

Dua kata kunci dari ayat ini ialah istiqamah dan meminta ampun. Bermakna, Allah dan Rasul tahu, bahawa, kita tak mampu istiqamah dalam semua perkara.

Sebagai manusia, kita takkan terlepas dari dosa dan noda. Maka hakikat istiqamah yang dimaksudkan ialah istiqamah dalam bertaubat.

Walaupun kita dah taubat, lalu kita ulang kembali dosa, maka taubatlah kembali. Andai kita jatuh lagi ke dalam lembah maksiat, bangkit dan bertaubatlah kembali. Andai sekali lagi kita tergelincir ke dalam dosa, bangun dan bertaubatlah kembali!

Seperti mana kita kerap melakukan dosa, maka, sekerap itu jugalah kita perlu bertaubat! Jangan sesekali putus-asa dalam bertaubat. Pengampunan Allah itu maha luas.

No comments:

Post a Comment