Tuesday 7 November 2017

Patuhi arahan banjir

Rakyat terutama yang tinggal di kawasan kerap berlaku banjir diingatkan agar bersedia untuk menghadapi banjir besar pada bila-bila masa. 

Tindakan seterusnya ialah daripada rakyat apabila banjir melanda. Amaran banjir berada di tahap waspada dihebahkan dari masa ke semasa melalui media memberi panduan tindakan yang sepatutnya dilakukan rakyat.

Apabila arahan berpindah dikeluarkan, penduduk di kawasan berkenaan perlu segera berpindah. Jangan beranggapan banjir tidak akan meningkat sehingga di tahap bahaya. Ketika itu proses berpindah akan menjadi sukar apabila kedalaman air semakin dalam yang tidak dapat dilalui termasuk kenderaan berat. 

Penggunaan bot penyelamat agak terhad kerana bilangannya tidak banyak. Tambahan pula, kalau banjir terlalu besar dan aliran air laju, kerja-kerja menyelamat sukar untuk dilakukan.  Sebelum keadaan itu berlaku, lebih baik berpindah awal.  

Setiap kali musim hujan, satu perkara yang perlu diingatkan kepada semua ialah soal keselamatan diri dan keluarga. Keselamatan harta benda seperti kenderaan, peralatan rumah, haiwan ternakan dan hasil tanaman juga perlu diambilkira.

Banyak ibu bapa menganggap musim hujan sama seperti hari-hari lain. Anak dibiarkan bebas bergerak dan bermain seperti biasa. Ibu bapa tidak ambil kisah tentang adanya kawasan mudah ditakungi air di sekeliling atau berhampiran tempat tinggal. 

Dengan kata lain, kemalangan seperti itu dapat dielakkan daripada berlaku sekiranya ibu bapa melarang anak-anak mereka pergi ke tempat itu tanpa kawalan. 

Bagi sesetengah orang, musim banjir yang sepatutnya dihadapi dengan perasaan bimbang, sebaliknya dianggap sebagai satu pesta. Banyak rakyat Kelantan menyambut kedatangan banjir sebagai menghiburkan.

Musim tengkujuh tidak dianggap sampai kemuncak jika tidak berlaku banjir. Setiap kali musim banjir mencatatkan pengalaman berbeza-beza. Sebab itu, setiap kali musim banjir, rakyat Kelantan ada cerita tersendiri mengingati kembali musim banjir lalu.

Apapun, banjir tetap satu bancana. Persiapan awal dan langkah berhati-hati perlu dilakukan untuk meminimunkan kadar kemusnahan dan kerugian akibat bencana banjir. 

No comments:

Post a Comment