Tuesday 7 November 2017

Musim banjir bukan masa berpesta

Setiap kali musim hujan, satu perkara yang perlu diingatkan kepada semua ialah soal keselamatan diri dan keluarga. Banjir adalah bencana yang tidak boleh dianggap perkara mudah. Biarpun kejadian banjir berlaku setiap tahun, namun keadaan banjir sentiasa berubah-ubah dari segi kedalaman dan perkara-perkara lain yang tidak diduga.

Sebab itu, diingatkan agar semua penduduk yang tinggal di kawasan yang mudah dilanda banjir lebih berhati-hati berdepan dengan musim hujan. Banjir bukan sahaja mengubah aktiviti harian, tetapi mungkin juga boleh mendatangkan kecelakaan kehilangan harta benda dan nyawa.  

Antara kecelakaan yang kerap dilaporkan media ialah kejadian mati lemas melibatkan remaja dan kanak-kanak. Ketika kebanyakan berita melaporkan mengenai pemindahan mangsa banjir dan bantuan dihulurkan pihak berkenaan, akan terselit berita mengenai kematian remaja atau kanak-kanak.

Kalau tragedi itu berlaku disebabkan satu malapetaka yang tidak boleh dielakkan atau menjadi mangsa keadaan yang terpaksa dihadapi, kita boleh menerimanya sebagai takdir.

Namun, amat malang apabila kebanyakan kejadian lemas berlaku melibatkan remaja dan kanak-kanak disebabkan kecuaian ibu bapa mengawal atau membiarkan anak bermain air tanpa kawalan.

Kanak-kanak memang suka bermain air. Itu sifat semulajadi. Amat jarang kita dapati kanak-kanak tidak suka bermain air. Sebab itu, kanak-kanak akan mengambil peluang untuk bermain hujan semahunya pada musim banjir. Lebih seronok lagi jika bermain bersama kawan-kawan.

Mungkin jika sekadar bermain air hujan di laman rumah yang tiada kawasan air bertakung atau parit laluan air deras, perkara itu boleh diterima. Kalau begitu, kita boleh katakan biarkan sahaja. Paling teruk kesan bermain hujan adalah deman.   

Namun, dalam keadaan teruja, kanak-kanak mungkin keluar bermain di tempat lebih jauh atau kawasan air dalam dan deras. Di sinilah wujudnya bahaya tidak tidak disangka. Kanak-kanak tidak dapat menjangka tentang bahaya bakal berlaku.

Kebiasaanya tragedi yang berlaku ialah bukan kerana berenang atau berada di dalam air. Kejadian tergelincir dan terjatuh di dalam parit, sungai atau tempat dalam mengakibatkan kemalangan jiwa. Keadaan itu berlaku disebabbkan ingin mengambil selipar yang terjatuh atau perkara yang lain yang membawa kepada diri tergelincir dan disebabkan tidak pandai berenang, terus menjadi mangsa lemas.

Untuk mengelak semua perkara itu, Ibu bapa mesti bertegas melarang anak masing-masing bermain air, tidak kira di kawasan air cetak atau nampak tidak berbahaya. Lebih-lebih lagi jika pergi jauh dari kawasan rumah. Cukuplah kalau ingin berhujan sekadar di laman rumah.  

Ibu bapa tidak seharusnya leka dan ambil mudah mengawasi anak-anak pada musim hujah biarpun anak mereka pandai berenang. 

Tragedi lemas boleh terjadi pada musim hujan disebabkan keadaan laluan air yang deras atau keadaan tidak diduga seperti aliran elektrik di dalam air, serangga berbisa dan benda tajam. 

Pandai berenang bukan alasan untuk bermain air banjir kerana malang tidak berbau dan tidak mengenal mangsanya. Keadaan banjir tidak dapat diduga kerana ia mungkin berlaku di luar kebiasan tahun-tahun sebelumnya.

Musim banjir bukan masa untuk berpesta, sebaliknya perlu berwaspada dan berhati-hati mengelak sebarang kemungkinan tragedi yang mungkin berlaku. Amat malang penduduk menjadikan musim banjir sebagai pesta. Mereka akan beramai-ramai menuju atau meninjau kawasan air, terutama jalan raya yang ditenggelami air.

Gambar yang ditularkan di dalam media sosial menarik minat untuk mereka turut berada di situ. Dan mereka sendiri pula akan mengambil gambar untuk ditularkan pula kepada orang lain. 

Media sosial sepatutnya digunakan untuk memberi amaran dan peringatan akan mengambil langkah keselamatan apabila banjir berlaku di sesuatu kawasan.  

Penduduk perlu mematuhi setiap arahan berpindah yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi mengelak keadaan bertambah buruk jika berpindah pada saat-saat akhir yang mana keadaan sudah begitu berbahaya. 

No comments:

Post a Comment