Monday, 6 November 2017

POLITIK MATANG ELAK KEBENCIAN

Pendekatan politik matang amat menarik untuk dianalisis sebagai lanskap baharu terhadap politik Malaysia. Pemimpin dan ahli parti perlu menjauhi penampilan retorik tanpa membawa pelan menyelesaikan, gagasan, cadangan atau langkah bertindak mengatasi sesuatu isu dan perkara.

Laungan kasar dan menghukum tanpa fakta yang sahih sehingga bertentangan dengan hati budi psikologi masyarakat Malaysia mestilah dihindarkan. Mana-mana parti politik tidak boleh lari daripada hakikat sebuah badan politik yang bertunjangkan membentuk masyarakat harmoni dan penuh dengan nilai-nilai baik.

Pendekatan mewujudkan suasana perbalahan dengan parti politik lain, tidak membawa kebaikan. Rakyat semakin huru hara. Mereka hilang sokongan dan wujud kebencian yang berterusan.

Parti politik perlu imej baharu yang lebih menekankan kepada politik matang. Amalan politik yang sekadar retorik dan emosi ketabsuban terhadap parti dan tokoh, tidak akan menyumbang apa-apa melainkan perpecahan.

Penyelesaiannya adalah politik matang yang bersifat bijaksana dan bermatlamatkan kesejahteraan rakyat.

Anjakan dari sikap reaktif sekian lama ke arah proaktif yang sifatnya membina. Rakyat sudah letih dengan konflik dan polemik yang tidak berkesudahan dan ­ak­hirnya kuasa politik umat Melayu boleh tergugat.

Kepimpinan parti harus berjiwa besar untuk memastikan generasi penerusnya mampu menjadi mata rantai perjuangan dengan mengambil kira Malaysia adalah sebagai sebuah negara majmuk.

No comments:

Post a Comment