Monday 6 November 2017

Rapuh jati diri punca Melayu menjadi lemah

Kerapuhan jati diri dalam kalangan bangsa Melayu sehingga membenarkan budaya negatif Barat menghakis nilai murni masyarakat itu perlu dipantau. Melayu akan hanya tinggal pada kad pengenalan jika penghakisan amalan tradisi Melayu berterusan seperti trend terkini.
Budaya Barat kini menjadi ancaman terhadap penghakisan tradisi dan budaya melalui kecelaruan pemikiran yang hadir dalam bangsa Melayu tanpa disedari. Dunia terbuka melalui alam maya memberi akses kepada semua orang untuk melihat jendela dunia tanpa batasan.

Golongan muda mudah terpengaruh dengan apa yang mereka lihat tanpa memikirkan kesan baik dan buruk. Apa yang penting pada mereka ialah keseronokan dan kepuasan tanpa batas. Sehingga mereka menganggap apa yang diamalkan dalam masyarakat Melayu sebagai kolot dan mengokong.

Maka itu, usaha memperkasa jati diri semakin terhakis apabila anak jati Melayu sendiri menolak Melayunya, tidak mahu berbahasa Melayu, memperlekeh nilai dan hati budi Melayu, dan akhir ini, atas nama kebebasan bersuara, ada sanggup meninggalkan agama Islam yang sinonim dengan Melayu.

Islam adalah anutan Melayu. Jika Melayu runtuh, maka Islam turut akan terlerai di Malaysia. Kehidupan Melayu adalah gambaran apa yang dikehendaki oleh Islam. Melayu mengamalkan kehidupan yang berteraskan kepada konsep Islam.

Lihat sahaja bagaimana orang Melayu mencipta baju kurung yang cantik, tetapi pada masa sama menutup aurat. Lihat bagaimana tutur bicara yang lembut dan mengormati orang lain yang diajar dalam Islam.

Orang Melayu mengawal tingkah laku pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan muhrim. Itu adalah amalan yang disyariatkan dalam Islam. Dengan kata lain, apa saja yang diamalkan dalam masyarakat Melayu ada cerminan kehendak Islam.

Maka itu, jika teras jati diri Melayu terlerai, ditakuti juga akan memberi kesan kepada kekuatan Islam.  

Kita bimbing dengan perilaku bebas golongan muda dengan apa diamalkan di negara Barat dianggap mereka sejajar dengan peredaran zaman sehingga sanggup meniru gaya hidup Barat serta menerap nilai pemikiran yang bertentangan dengan kemurnian budaya bangsa.

Bangsa Melayu perlu menghayati sejarah bangsa. Penghayatan sejarah akan memperkasa jati diri Melayu.

No comments:

Post a Comment