Monday 6 November 2017

Ubah sungai kotor jadi bersih

Isu sungai bukan timbul ketika musim banjir semata-mata. Cerita sungai kotor dan air tidak selamat untuk kegunaan umum tidak berpenghujung walaupun pelbagai kempen dan usaha telah dilakukan. 

Inilah hakikat yang terpaksa diakui. Bilangan sungai yang ‘sudah mati’ akibat terlalu kotor dan tercemar semakin bertambah. Memalukan apabila sungai yang dulunya air jernih dan banyak hidupan air mendiaminya yang menjadi punca pendapatan nelayan, kini hanya layak dipanggil longkang besar. 

Kajian hidrologi mengkategorikan tiga sumber pencemaran sungai iaitu pencemaran fizikal seperti sampah sarap, pencemaran biologi seperti najis binatang dan pencemaran kimia yang terdiri daripada bahan kimia terlarut.

Pemandangan sungai yang tercemar hilang daya tarikan. Sungai yang dikaitakan dengan kedamaian dan keindahan telah bertukar kepada menyakitkan mata dan mendatangkan bau busuk. Sungai tidak lagi menjadi daya tarikan dan rebutan golongan kaya untuk dijadikan laman rumah. 

Sedangkan pada masa lalu, tebing sungai dijadikan penempatan golongan kaya. Banyak istana dibina berhampiran dengan sungai. Begitu juga, penempatan di sesuatu tempat bermula di tebing sungai seperti dapat dilihat kebanyakan bandar besar di negara kita dan di luar negara.       

Sebaliknya kini, sungai menjadi rebutan bagi golongan tidak berada. Kawasan tebing sungai menjadi penempatan setinggan yang tidak menghiraukan soal bau busuk dan pemandangan tidak elok sungai kerana mereka tidak ada banyak pilihan untuk mencari tempat yang lebih selesa.   

Penghuni tebing sungai mengambil jalan mudah membuang sampah sarap ke dalam sungai yang dijadikan seperti tong sampah. Tidak hairanlah jika sungai di kota dipenuhi oleh sampah yang menyebabkan aliran air bergerak perlahan membawa sampah sehingga ke laut. 

Kerajaan terpaksa menyediakan peruntukan yang besar untuk membersihkan sungai yang tercemar.  Peruntukan itu sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan lain, jika sungai-sungai di negara kita sedia dalam keadaan bersih. Mencegah adalah lebih baik daripada merawat. 

Alasan pihak yang mengatakan keadaan itu tidak dapat dielakkan memandangkan perkara itu sebahagian daripada proses urbanisasi sebenarnya tidak boleh diterima kerana banyak sungai di negara maju yang mengalir di tengah kota besar berada dalam keadaan bersih.

Contohnya, Sungai Thames di kota London kekal bersih dan menjadi satu daya tarikan pelancong. Paling dekat dengan kita, sungai-sungai di kota Singapura juga bersih, biarpun kadar urbanisasinya lebih pesat di sana. 

Di negara Eropah, mereka sepakat mengadakan kempen ‘European Framework Directive’ yang menetapkan sasaran bagi membaik pulih semua sungai di Eropah sehingga mencapai tahap piawaian yang seragam.

Penglibatan orang ramai secara sukarela atas dasar kesedaran dalam usaha memulihara sungai dapat memberi kesan baik jangka panjang. Kesedaran ini dapat membentuk satu ‘kebiasaan’, yang kemudiannya menjadi satu budaya yang diikuti semua orang.   

No comments:

Post a Comment