Thursday 25 April 2019

JAMBU AIR BERSAIZ KECIL

Jambu air atau di Kelantan lebih dikenali jambu nawar. Jambu nawar memang banyak jenis, sama juga dengan banyaknya jenis atau varieti jambu batu.

Salah satu varieti jambu nawar yang ada ialah jenis kecil berwarna merah. Penulis tidak pasti namanya, tetapi ada yang memanggilnya jambu air kancing atau jambu nawar kancing. Nama kacing digunakan mungkin kerana bentuknya berupa seperti kancing baju perempuan.

Kali pertama penulis melihat dan makan buah jambu nawar kancing, yang juga dipanggil jambu nawar kecil ini ialah sekitar tahun 1984. Ukuran buahnya lebih kecil berbanding kebanyakan varieti jambu air lain.

Masa itu, ayah penulis ada menanam anak pokok itu yang diberikan anak benih tut oleh kawannya. Rasanya pada masa itu jambu nawar jenis ini belum banyak lagi.

Pokok jambu nawar yang ditanam ayah penulis cepat berbuah, kira-kira setahun setelah ditanam. Mungkin kerana menggunakan anak tut. Pokoknya terus membesar, namun paling tinggipun sekitar lima meter sahaja.

Pokok nawar kancing atau kecil ini memang lebat berbuah. Buahnya boleh dikongsi atau diagih-agihkan kepada jiran. Ia tidak ada musim. Dalam setahun berbuah beberapa kali.

Rasa buahnya masam manis. Memang sedap dimakan terus atau dicicih dangan perisa seperti cuka, kicap dan sebagainya.

Pokok asal yang ditanam oleh ayah penulis telah ditebang. Namun bakanya masa masih ada dipindahkan di tempat lain. Malah, seorang adik penulis yang bertugas di Sabah ada membawa baka ini ditanam di rumahnya di Ranau, Sabah.

No comments:

Post a Comment