Sunday, 7 July 2019

SIKAP BERMUKA-MUKA TIKAM KAWAN DARI BELAKANG

Dalam setiap persahabatan memerlukan keikhlasan, berkata benar dan sentiasa menjaga hubungan agar berkekalan. Salah satu sifat yang merosakkan persahabatan ialah bermuka-muka.

Sikap bermuka-muka ialah di hadapan kata lain, di belakang pula kata yang sebaliknya. Apa yang ditunjukkan ketika berada bersama hanya kepura-puraan.

Sikap berpura-pura dan bermuka-muka boleh menyebabkan seseorang sahabat menikam belakang sehabatnya secara dayus. Dia tidak berani menyatakan di hadapan, tetapi mengambil kesempatan ketika sahabatnya tidak melihat.

Dalam Islam sikap bermuka-muka amat buruk. Sabda Rasulullah SAW bermuksud: “Kalian mendapati bahawa orang yang paling buruk di antara manusia adalah orang yang bermuka dua, datang kepada satu golongan dengan satu muka dan pada golongan yang lain dengan muka yang lain.” (Hadis riwayat Ahmad No: 7039)

Menurut Imam Al-Qurthubi: Sesungguhnya yang menyebabkan orang yang bermuka-muka ini menjadi buruk adalah kerana keadaannya seperti orang munafik. Dia mudah melakukan perbuatan buruk dan dusta. Dia gembira melihat orang lain bermusuhan.”

Orang yang bermuka-muka adalah orang yang menyembunyikan apa yang ada di dalam hatinya ketika bertemu dengan seseorang atau sekelompok orang yang dia musuhi dengan mengatakan perkataan atau sikap yang berbeda dengan apa yang disimpan dalam hatinya.

Manakala Imam An-Nawawi menjelaskan: Orang yang bermuka-muka adalah orang yang datang kepada satu kelompok dengan menampakkan seolah-olah dirinya berada di pihak mereka dengan memburukkan kelompok lain. Tetapi dalam waktu yang sama, dia juga datang kepada kelompok lain dan melakukan hal yang serupa (oportunis).

Gambar: Jeti Pulau Beluru, delta muara Sungai Kelantan. Sekadar hiasan.

No comments:

Post a Comment