Beribadat pada malam Lailatulqadar Beribadat tidak mesti di masjid atau atas tikar sembahyang sahaja. Berzikir, beristigfar, membaca al-Quran (walaupun sekadar beberapa ayat atau surah lazim), bersedekah, membantu sesama muslim dan melakukan sesuatu kebaikan juga termasuk dalam ibadat yang perlu dilakukan pada malam Lailatul qadar.
Dengan kata lain, tidak sukar untuk menghidupkan malam Lailatulqadar mengikut kesempatan masing-masing.
Sebuah hadis menjelaskan mengenai keberkatan Lailatulqadar yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa Ramadan dan qiam dengan penuh keimananan mengharapkan ganjaran daripada Allah, diampuni baginya dosanya yang lalu, dan sesiapa yang melakukan qiam pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, akan diampuni dosa mereka yang lalu.” (Hadis riwayat Bukhari).
Malam Lailatulqadar cukup istimewa kerana ‘nilai’ disamakan dengan 1,000 bulan atau lebih 83 tahun. Sesiapa melakukan ibadat dan kebaikan pada malam itu disediakan ganjaran sama seperti dia melakukannya berterusan selama 1,000 bulan.
Justeru, ganjaran malam Lailatulqadar perlu direbut setiap muslim yang berusaha menempatkan dirinya pada kedudukan lebih baik di sisi Allah SWT. Amat beruntunglah sesiapa yang mendapat keberkatan Lailatulqadar.
Anugerah Lailatulaqadar hanya diberikan kepada umat Nabi Muhammad SAW. Daripada Anas meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah memberikan kepada umatku Lailatulqadar dan tidak diberikan kepada umat-umat sebelum mereka." (Hadis riwayat Ad-Dailani).
Anugerah itu berkaitan dengan para sahabat yang mengadu bahawa mereka tentu tidak dapat menandingi ibadat umat nabi-nabi terdahulu yang usia mereka hingga ratusan tahun. Sedangkan usia umat Nabi Muhammad SAW sekadar 50 hingga 70 tahun sahaja. Rasulullah SAW wafat pada usia 63 tahun.
Dengan adanya malam Lailatulaqadar, peluang beribadat lebih ‘lama’ dapat dicapai oleh umat Nabi Muhammad SAW. Malah jika seseorang itu berulang-ulang kali mendapat Lailatulqadar sepanjang hidupnya, maka bertambah-tambahlah kebaikan yang dikumpulkan untuk dibawa mengadap Allah SWT di akhirat nanti.
Keistimewaan malam Lailatulqadar juga dikaitkan sebagai malam di mana al-Quran diturunkan.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada malam penuh berkat.” (Surah ad-Dukhan, ayat 3).
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menurunkannya (al-Quran) pada malam penuh berkat.” (Surah ad-Dukhan, ayat 3).
No comments:
Post a Comment