Disebabkan
masjid dijadikan medan politik, ada jemaah yang tidak tahan dengan kerenah dan
semakin menjauhkan diri daripada masjid. Mereka berasa seperti serba tidak kena
walaupun datang dengan tujuan untuk beribadat.
Niat
asal untuk memperoleh keberkatan dan ganjaran pahala selain mengimarahkan rumah
Allah SWT itu dengan aktiviti kemasyarakatan bertukar menjadi tempat yang
menimbulkan api kebencian sesama penduduk setempat.
Pihak yang tidak bertanggungjawab
menganggap apa yang dilakukan itu sebagai ‘betul’ dan suruhan
agama. Kononnya untuk menegakkan kebenaran dan mengelak perkara buruk,
maka mereka dengan secara terbuka menyebarkan fitnah dan mengumpat pihak lain
yang tidak sehaluan dengan mereka.
Terdapat
masjid yang menjadi program rutin ceramah agama, tetapi menyimpang dengan
menuding jari menyalahkan atau mengagungkan sesuatu pihak. Biasanya hanya pada
mula saja disentuh soal agama, sedang selepas itu terus melancung dalam hal-hal
lebih kepada kepartian.
Lebih
menyedihkan perkataan kesat, mencela dan gelak tawa tiada batasan dianggap
perkara biasa yang diamalkan di dalam rumah ibadah.
Ternyata apa yang dilakukan itu
bertentangan dengan konsep yang dituntut oleh Islam, lebih-lebih lagi perbuatan
buruk itu dilakukan di masjid. Masjid yang dibina sebagai rumah ibadah
bagi umat Islam memperoleh keberkatan dan ganjaran pahala bertukar sebaliknya
menjadi sarang membuat dosa.
Di
masjid sepatutnya menjadi medan untuk membentuk kerjasama dan perpaduan di
kalangan penduduk setempat, selain mendapat ilmu agama melalui kelas agama yang
diadakan di situ.
Tidak
wajar ada pihak atau individu disindir dan dipandang serong oleh segelintir
jemaah berikutan berlainan fahaman politik atau minat.
Tindakan
segelintir pihak yang menjadikan masjid sebagai landasan berpolitik kepartian
layak dipanggil sebagai golongan pecah belah. Sepatutnya di masjidlah peluang
untuk melupakan seketika perbezaan fahaman politik. Betulkan niat kita untuk
menjadi tetamu Allah dan menghampirkan diri kepada Maha Pencipta.
Masjid
bukan tempat menyebarkan fahaman politik yang lebih kepada menyebabkan
perpecahan. Masjid yang sepatutnya digunakan sebagai pusat penyatuan umat Islam
tanpa mengira fahaman politik, kedudukan dan bangsa.
Pada zaman Rasulullah SAW, urusan
politik memang dibuat di dalam masjid. Namun politik yang dimaksudkan
ialah lebih kepada urusan pentadbiran negara dan kepentingan umat
Islam.
Malangnya,
istilah politik yang dibawa dalam masjid sekarang ini adalah politik kepartian.
Masing-masing ingin menyalahkan pihak lain dan mengagungkan pihak sendiri.
Inilah menjadi bibit perpecahan di kalangan jemaah yang berlainan fahaman.
Lebih
malang lagi, ada pihak yang membina masjid atau surau sebagai markas parti.
Walaupun nampak seperti masjid, hakikatnya ia lebih kepada ‘pejabat’ parti.
Maka itu, orang berlainan parti tidak akan pergi ke masjid itu. Masjid itu
hanya ‘meriah’ apabila ada urusan dilakukan di situ. Sedangkan pada waktu lain
ia sunyi dan tidak ada aktiviti lain.
Ini
menunjukkan kedangkalan dan ceteknya pemikiran kita dalam berpolitik sehingga
membabitkan rumah ibadat. Di mana lagi tempat kita nak bersama kalau semua
tempat dijadikan medium perpecahan.
Ingatlah, sesuatu yang membawa
kepada perpecahan ummah ditegah dilakukan seperti mengumpat, fitnah dan sikap
ego. Jadi, jika perkara ini dilakukan di masjid, maka ia menjejaskan
institusi masjid yang dibina bagi menjadi pusat ibadah dan aktiviti umat Islam
apabila dijadikan sebagai sarang mengumpul dosa.
Sepatutnya masjid atau rumah
ibadah digunakan sebagai tempat menyucikan hati dan melakukan pelbagai kegiatan
berfaedah dalam usaha menyatukan perpecahan yang berlaku di luar, bukan tempat
menyakitkan hati atau sebaliknya membawa perpecahan daripada luar.
Gambar sekadar hiasan
No comments:
Post a Comment