Sunday, 3 March 2019

SERONDENG KAMPUNG LAUT

Serondeng Kampung Laut memang terkenal lazat dan berkualiti tinggi. Jenama ini terkenal di seluruh negara yang dipopularkan oleh perantau Kelantan di tempat tinggal baharu masing-masing. 

Bahkan, jika disebut serondeng Kelantan, maka tergambar mengenai Kampung Laut yang senonim dengan serondeng. Sedangkan sebenarnya di Kelantan terdapat tempat lain yang turut menghasilkan serondeng seperti di Kubur Maras, Pasir Mas dan Machang.

Serondeng atau dalam dialek Kelantan dipanggil 'sambal' merupakan makanan yang dibuat daripada daging (ikan, udang dan sebagainya) yang disiat halus-halus dan dimasak dengan santan dan rempah-rempah hingga kering.

Memandangkan serondeng telah dimasak sehingga kering, ia boleh disimpan lama hingga satu tahun.

Serondeng Kampung Laut merujuk kepada serondeng yang dihasilkan oleh pengusaha di Kampung Laut, Tumpat, Kelantan.

Sebenarnya, serondeng itu dihasilkan oleh pengusaha berbeza-berbeza. Di Kampung Laut terdapat berpuluh-puluh pengusaha serondeng. Mereka menjalankan penghasilan serondeng di kawasan rumah masing-masing.

Mereka mendapat bimbingan dan bantuan dari Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

Setiap pengusaha biarpun mempunyai resipi masing-masing, namun tidak banyak bezanya. Kualiti dan kawalan mutu sentiasa diutamakan oleh pengusaha serondeng di Kampung Laut bagi menjaga imej dan nama baik Serondeng Kampung Laut.

Jenis serondeng yang dihasilkan ialah serondeng daging lembu (daging tempatan dan import), ayam dan ikan. 

Selain dimakan bersama nasi sebagai 'perisa', serondeng juga dijadikan inti untuk beberapa jenis kuih, terutamanya ketupat bucu atau ketupat palas. Selain itu ia juga dicampurkan ke dalam bubur, oak dan makanan dalam bentuk cair. 

No comments:

Post a Comment