Al-adah muhkkamah secara bahasa
diambil dari kata al-aud atau al-muawadah yang bermaksud berulang. Dengan kata lain,
al-adah muhkkamah membawa erti perbuatan atau amalan yang diulang-ulang yang
menjadi budaya dan kebiasaan yang dapat diterima dalam masyarakat.
Manakala uruf (urf) pula memberi maksud
sesuatu perkara yang telah diketahui oleh individu atau masyarakat yang tinggal
di sesuatu kawasan dan menjadi kebiasaan mereka mematuhinya sama ada dalam
bentuk perkataan ataupun perbuatan. Urf juga berkaitan perkara-perkara yang
mereka tidak lakukan kerana kefahamannya mengenainya.
Biarpun difinisi al-adah dan uruf
nampak berbeza, namun kebanyakan ulama meletakkan ia sebagai satu perkara sama
dalam membincangkan kedudukannya sebagai satu cabang daripada lima kaedah fiqh
yang digunakan sebagai rujukan hukum.
Cara mudah al-adah dan urf boleh dirumuskan sebagai adat, kebisaan atau budaya yang diamalkan dalam sesuatu kelompok manusia atau masyarakat.
Cara mudah al-adah dan urf boleh dirumuskan sebagai adat, kebisaan atau budaya yang diamalkan dalam sesuatu kelompok manusia atau masyarakat.
Adat telah disepakati majoriti
ulama sebagai salah satu kaedah fiqh daripada lima kaedah utama yang
digunapakai untuk mensabitkan sesuatu hukum syarak. Perkara ini banyak
diamalkan dalam masyarakat. Banyak di kalangan masyarakat tidak mengetahui
bahawa amalan agama yang dilakukan itu sebenarnya adalah adat yang telah
diserap dan diterima sebagai hukum.
Namun, adat hanya dijadikan rujukan
untuk tujuan mensabitkan hukum syarak ketika tidak terdapat nas yang jelas bagi
sesuatu hukum yang hendak disabitkan. Jika telah ada nas jelas, suruhan atau
larangan, maka perlu dipatuhi nas itu. Contohnya, haram berjudi bagi orang
Islam walaupun tinggal di negara yang rata-rata rakyatnya berjudi.
Maknanya, tidak harus menjadikan
adat sebagai sumber hukum yang berkaitan dengannya jika telah ada nas yang
jelas meletakkan hukumnya. Adat sedemikan dipanggil adat batil atau salah. Jika
diteruskan diamalkan adat yang batil itu, maka termasuklah dalam perbuatan
ditegah dan berdosa.
Para ulama sepakat menjadikan adat
sebagai salah satu asas menentukan hukum. Penerimaan kaedah ini antara lain
berdalil dengan firman Allah SWT yang bermaksud: "Terimalah yang mudah
dilakukan dan suruhlah dengan perkara yang baik." (Surah al-Araf, ayat 199)
Ayat itu dapat difahami perkara
baik yang sudah diterima dan diamalkan dalam sesuatu masyarakat hendaklah
diteruskan, sesuai dengan matlamat Islam yang ingin kepada kebaikan. Islam itu
mudah dan memberikan kemudahan kepada penganutnya.
Turut dijadikan hujah berdasarkan
hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apa-apa yang didapati dan yang
dilihat oleh orang-orang Islam sebagai sesuatu yang baik, maka ia juga baik di
sisi Allah."
No comments:
Post a Comment