Sunday, 13 March 2022

BAGAIMANA ISLAM SEMARAKKAN KASIH SAYANG

  
Menyemarakkan kasih sayang sangat dituntut dalam Islam, kerana Allah SWT sentiasa mencurahkan kepada makhluk-Nya segala kasih sayang dengan memberi pelbagai nikmat dalam kehidupan di dunia. Kasih sayang Allah mengatasi kemurkaan-Nya. 
 
Bagaimanapun, kadangkala manusia meletakkan dan mencurahkan kasih sayang bukan pada tempat sepatutnya dan tidak pada cara selayaknya. 
 
Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya orang beriman dan beramal soleh, Allah melimpahkan rahmat-Nya, menanamkan dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang". (Surah Maryam, ayat 96) 
 
Hakikatnya, apa saja kebaikan yang dilakukan seseorang muslim kepada sesama makhluk adalah tanda kasih sayang yang wujud dalam dirinya. Hal ini termasuk kasih sayang terhadap haiwan dan alam sekitar. 
 
Muslim yang sebenar bukan saja menitikberatkan kasih sayang sesama manusia, bahkan ia tidak meremehkan hubungannya dengan dua entiti ini, kerana manusia, haiwan dan alam sekitar adalah makhluk ciptaan Allah yang saling berkaitan untuk mengekalkan kemakmuran hidup di muka bumi. 
 
Abdullah bin Masud meriwayatkan, suatu ketika dirinya dan para sahabat yang lain menemani Rasulullah SAW melakukan perjalanan. Mereka melihat burung seperti burung pipit yang membawa dua anaknya. Burung itu terbang hampir jatuh dengan sepasang sayapnya yang hampir menyentuh tanah. 
 
Nabi SAW bertanya, "Siapa yang memisahkan anak burung ini dari induknya? Kembalikanlah dia kepada ibunya." 
 
Begitulah luas dan indahnya berkasih sayang dalam Islam dan tiada hari tanpa kasih sayang dalam kehidupan orang beriman.

No comments:

Post a Comment