Friday 20 January 2017

Peluang bekerja dari rumah

Berdasarkan kajian, wanita menyifatkan kebahagiaan hidup berkeluarga sebagai satu kejayaan di samping kerjaya stabil. Masa bersama keluarga, terutama anak menjadi keutamaan ibu. Justeru, ramai wanita mempertimbangkan peluang untuk bekerja di rumah dan pada masa sama dapat memainkan peranan sebagai ibu sepenuh masa. 

Sememangnya, inilah yang sentiasa bermain di minda wanita bekerja iaitu memiliki pendapatan sendiri, tetapi tidak perlu mengorbankan terlalu banyak masa untuk bersama anak dan keluarga.

Bagaimanapun, apakah konsep bekerja di rumah yang semakin popular sejak sedekad lalu ini cukup ideal untuk semua wanita? Bekerja di rumah memang kedengarannya amat menarik dan mudah sekali. Maklum saja, anda adalah bos kepada diri sendiri!

Persoalannya, apakah semua wanita mampu melakukan dua tugas dalam satu masa? Hakikatnya bekerja di rumah bukanlah satu tugas mudah. Bijak menguruskan masa adalah faktor utama apabila bekerja di rumah.

Anda juga perlu mempunyai disiplin tinggi dan tidak berkompromi dalam memisahkan waktu bekerja dengan menguruskan keluarga.

Begitu pun, tiada maknanya jika hanya diri anda saja berada di rumah, tetapi asyik sibuk bekerja hingga tiada masa untuk bersama anak, sedangkan matlamat sebenar untuk mempunyai masa bersama si kecil.

Apa yang penting, seseorang itu perlu memasuki bidang yang selari dengan minat dan kemahiran masing-masing. Kalau boleh berbincanglah dengan suami dan keluarga.

Sokongan mereka penting kerana corak kerja anda yang kini sudah berbeza dengan dulu. Anak juga perlu faham bila anda sedang membuat kerja dan bila anda berperanan sebagai ibu.

Anda perlu bersikap adil terhadap anak dengan membahagikan masa bekerja dengan lebih bijak. Misalnya, anda boleh mula bekerja apabila anak sedang tidur atau pada awal pagi ketika anak ke sekolah. Pastikan apakah kepentingan waktu itu. Jika anak perlukan perhatian, utamakan daripada melakukan kerja lain.

Saudara terdekat juga perlu tahu bahawa anda kini sedang bekerja di rumah agar mereka tidak mengganggu waktu bekerja anda. Bantuan pembantu rumah juga masih diperlukan, malah meringankan beban bagi mereka yang tidak mampu melakukan dua tugas dalam satu masa.

Sebagai strategi awal, mereka yang sedang bercadang untuk bekerja di rumah agar mula membina jaringan kerja sebelum berhenti kerja. Mengenali ramai orang adalah satu faktor penting sebagai strategi pemasaran.

Jangan tunggu sehingga berhenti kerja baru hendak tercari-cari pelanggan. Hubungan baik dengan orang sekeliling mewujudkan peluang luas memasarkan barangan mahupun perkhidmatan yang anda tawarkan.

Pada masa inilah kena pandai gunakan peluang yang ada seperti menghadiri kursus keusahawanan dan kemahiran lain yang boleh dijadikan sumber pendapatan kemudian hari.

No comments:

Post a Comment