Saturday 7 January 2017

Kesan buruk budaya hutang

Berhutang semakin menjadi budaya. Secara umumnya, pada masa kini, berhutang sudah menjadi lumrah dalam kehidupan. Islam tidak melarang hutang, tetapi tidak menggalakkan, kecuali terpaksa. Pun begitu, instrument hutang sudah menjadi sebahagian keperluan hidup.

Pinjaman perumahan, kereta, perniagaan, pendidikan dan keperluan lain sudah menjadi trand masyarakat kita. Kini, penggunaan kad kredit sudah menjadi satu amalan yang diterima secara meluas.

Ada pandangan yang mengatakan, lebih baik tidur tanpa makan terlebih dahulu, daripada bangun esok pagi dengan banyak hutang. Langkah terbaik yang dapat dilaksanakan pada suatu hutang adalah membayarnya.

Islam menggalakkan supaya orang yang berhutang membayar hutang supaya dapat hidup merdeka. Mereka yang berhutang adalah hamba.

Kita sentiasa terikat dengan bayaran secara bulanan atau tempoh masa yang dipersetujui. Jika tidak membayarnya, tindakan dikenakan oleh pihak pemberi pinjaman.

Maka, untuk hidup bebas, elak daripada berhutang. Bagi mengelakkan berhutang, hiduplah secara sederhana dan berbelanja secara berhemah.

Luqman Al-Hakim pernah mengungkapkan kata-kata: "Aku memindahkan batu dan membawa besi yang kuat, namun aku belum mendapatkan sesuatu yang lebih berat daripada hutang."

Budaya berhutang sudah menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat kita. Perkara ini berpunca sikap berbelanja melebihi kemampuan kewangan semasa. Biarpun tidak mempunyai tunai, namun keinginan membeli masih ingin ditunaikan dengan cara membeli secara kredit.

Hutang dalam bahasa Arab bermaksud al-Qardhu atau potongan. Dari segi bahasa ia membawa maksud potongan sebahagian harta dan diberi kepada seseorang yang memerlukan.

Di kalangan golongan miskin memang sudah biasa dikaitkan dengan hutang. Namun, dalam dunia moden hari ini golongan kaya dan sederhana juga terlibat dengan hutang yang diambil dengan institusi kewangan dan syarikat menjual secara kredit.

Maknanya, berhutang sudah menjadi trend atau budaya dalam kehidupan masyarakat. Orang miskin atau kesempitan wang berhutang untuk memenuhi keperluan hidup yang terdesak, sedangkan orang kaya berhutang untuk bermewah.

Pada dasarnya, Islam tidak melarang berhutang, tetapi tidak menggalakkan jika ia tidak dianggap satu keperluan yang terdesak. Amalan berhutang tidak sepatutnya dijadikan satu budaya dalam masyarakat kerana akan timbul banyak keburukan jika dijadikan perkara suka-suka.

Sepatutnya kita merasa ‘malu’ hendak berhutang kerana ia dikaitkan dengan kemiskinan dan ketidakupayaan dari segi kewangan. Mengapa berhutang dijadikan budaya sedangkan ia bukan keperluan amat penting yang sehingga mewajibkan berhutang seperti untuk keperluan perubatan dan pendidikan.

No comments:

Post a Comment